JOM LAYAN IKLAN

Sunday, November 23, 2008

FARDHU KIFAYAH

Sudah lama benar aku tidak menulis di blog ini. Sibuk benar gayanya.

Kali ini aku hanya ingin berkongsi pengalaman aku sebagai seorang muslim di kediaman yang didiami oleh kebanyakan nonMuslim.

Semalam merupakan mesyuarat atau pun taklimat ringkas mengenai penubuhan Joint Management Body di blok ini. Sebagai salah seorang AJK kediaman, aku mesti pergi. Tapi aku sama terkilan dengan pengerusi kerana ramai pembeli rumah yang tidak hadir. Daripada 420 penghuni hanya 8 orang daripada tuan punya rumah yang hadir. Manakala 7 orang lagi merupakan pembeli rumah dari blok kediaman yang lain. Entahlah.. mungkin mereka ada sebab lain untuk tidak hadir.

Kalau nak ikutkan hati aku, aku sebenarnya memang tak mahu hadir. Malas benar rasanya. Tetapi apabila mengenangkan bahawa aku ini telah dilantik sebagai AJK aku mesti tunaikan tanggungjawab aku. Tambahan lagi, akulah sebenarnya wakil daripada nonMuslim. AKU SEORANG SAHAJA. Kalau aku tidak hadir, maka jatuhlah dosa untuk semua pembeli Muslim kerana tiada wakil untuk komuniti ini dari kalangan Muslim.

ILMU FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH.

Kifayah dari segi bahasa bermaksud 'mencukupi' dan 'memadai'. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran, ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar ma’ruf nahi mungkar.

Imam an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam.

Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.

Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.

Fardhu ain bermaksud perkara yang wajib bagi setiap orang Muslim dan ia mencakupi dua perkara:

Pertama: Mengetahui kewajipan-kewajipan agama yang menjadikan akidah keimanan dan fardhu-fardhu yang ditetapkan oleh Islam itu sah. Ia berupa beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan ketentuan qadar yang baik dan jahat. Begitu juga rukun-rukun dan fardhu-fardhu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Ibn ‘Umar yang disepakati kesahihannya yang bermaksud:

'Dibina Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa yang mampu melakukannya.'

Begitu juga mesti mengetahui usul-usul muamalat yang perlu dan mesti wujud di dalam kehidupan setiap orang Muslim untuk bertukar ganti manfaat barangan, menyuburkan kehidupan bermasyarakat dan menstabilkannya seperti halalnya jual beli, meminjam, bersyarikat, ketentuan perwarisan, juga hukuman-hukuman yang telah dinaskan terhadap jenayah seperti hukuman murtad, membunuh, zina, qazaf, mencuri, hirabah dan hukuman meminum arak.

Kedua: Mengetahui perkara haram yang qat’i dan menafikan agama seperti syirik kepada Allah, pengharaman menderhaka kepada kedua-dua ibubapa, menipu, khianat, memakan harta dengan batil, riba, merampas, menipu (putar belit), pengharaman membunuh, zina, qazaf, mencuri, minum arak, pengharaman mendedahkan aurat, wanita-wanita yang menjadi mahram di dalam perkahwinan, pengharaman memakan bangkai, memakan daging babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah kecuali bagi mereka yang terpaksa.

Fardhu Kifayah ialah perkara yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian manusia, maka gugurlah kewajipan terhadap manusia yang lain seperti mengetahui perkara secara terperinci tentang sesuatu fardhu ain, hukum-hukum cabangnya dan dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas ataupun dalil-dalil lain yang mengikutinya, juga mengetahui seluruh perkara yang diperlukan oleh umat yang mana mereka tidak akan bangun tanpa kewujudannya.

Perkara ini bukanlah sekadar perkara yang berkaitan dengan ilmu-ilmu syariah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya, tetapi ia menjangkau kepada semua ilmu, kepakaran, pekerjaan dan perindustrian.

Sumber: JAKIM - http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=467

Memandangkan bahawa aku perlu menjadi wakil untuk kepentingan semua pihak maka dengan kesedaran itulah aku menghadirkan diriku. Terbuktilah bahawa Islam ini memang agama yang syumul. Kalau malas tak perlu pergi... takpayahlah pikir dosa dan pahala...

Semoga Allah tabahkan hatiku dan memberiku kekuatan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Amin

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...