JOM LAYAN IKLAN

Friday, March 28, 2008

KERETAKU DI DUNIA INI

Keretaku du dunia yang pertama sekali merupakan kereta Waja dengan nombor pendaftaran WKS34. Kereta tersebut kukongsi bersama Sayangku. Tempoh penggunaan hanya 4 tahun sahaja. Kini aku memandu Si Genit Hijau Viva Auto BJS6272 manakala Sayangku memandu Si Macho Honda Civic BJR5155. Kedua-duanya dibeli pada hujung tahun lepas bagi menyelesaikan masalah perkongsian kereta yang seringkali menyusahkan kami berdua. Apa-apa pun, di sini tidak ingin sekali aku menunjukkan keriakkan diri ini terhadap perkara duniawi kehebatan kenderaan-kenderaan milikku kecuali hanya ingin mengingati bahawa diri ini hanyalah insan biasa yang banyak dosa. Berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Mengingati keretaku yang pertama bukanlah untuk merindui kehebatannya tetapi untuk kulihat pengorbanan keretaku untuk manusia sejagat setakat yang mana aku mampu buat. Si Waja pernah juga berbudi membawa para pelajarku ke pelbagai lokasi pertandingan. Itu memang pengorbanan biasa mana-mana kereta milikku termasuklah Si Macho Honda dan Si Genit Viva. Ini juga termasuk menumpangkan beberapa orang pelajarku ku sekolah setiap hari. Seingat-ingatku Si Waja pernah juga membawa beberapa insan yang tidak kukenali untuk ditumpangkan ke rumah mereka yang jauh dari perhentian bas. Masih kuingat sekumpulan kanak-kanak lelaki yang basah dek hujan lebat pun pernah juga kutumpangkan. Mereka agak nakal dan suka bertanya pelbagai soalan mengenai keretaku. Namun, sedikit masa cuma itu aku terhibur melihat teletah mereka. Hari itu keretaku basah luar dan dalam :) Tapi tak mengapa, saat menumpang mereka itu lebih berharga...

Seterusnya Si Genit Hijau Viva. Kereta baru ini belum lagi banyak membuat pengorbanan. Sumbangan setakat ini hanyalah sumbangan biasa seperti membawa pelajar ke sekolah dan ke lokasi pertandingan termasuklah membawa adik-adikku pulang. Tetapi hari ini, dalam perjalanan pulang, aku terlihat seorang pakcik Cina tua yang berjalan di bawah matahari terik. Kudapati dia sering menoleh ke belakang. Mengapa yek? Aku tertanya-tanya dalam diri ini. Kulihat umurnya benar-benar lanjut. Mungkin umurnya belebihi 70 tahun. Sama umur abahku tersayang. Apabila teringatkan Abahku sayang dengan segera aku memusingkan Si Genit Hijau. Abah selalu ditumpangi oleh insan-insan yang ikhlas membantu untuk ke masjid dan sekembali dari masjid. Jika tiada yang sudi menumpangkan Abah, tentu abah kepenatan balik selepas beribadah. Tak sampai hati rasanya melihat Abah kepenatan apatah lagi keletihan di saat tua tentunya berbeza dengan kepenatan di saat umur muda. Maka mulalah perkenalanku dengan Pakcik Looi. Dia seorang yang peramah menanyakan namaku. Katanya dia ke pejabat pos dan kemudiannya ke Giant untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Pandai pakcik ini berbahasa Malaysia kerana sepanjang perbualan singkat kami, dia bertutur penuh dalam bahasa. Jauh lebih baik daripada para pelajarku yang gemar berbahasa Inggeris. Rumah pakcik ini sebenarnya tidak jauh daripada rumah aku. Blok Harmoni sahaja. Selepas menghantarnya pulang, hatiku amat gembira. Menitis jugak air mataku selepas menurunkan pakcik Looi. Terbayang aku akan Abah yang selalu berjalan di samping insan yang memandu kereta-kereta Kancil, Viva, Iswara, Gen-2, Perdana, Mercedes, BMW, dan lain-lain. Tentu Abah hanya melihat sahaja kereta-kereta itu berlalu pergi namun tentu ada ketikanya hatinya berdetik " Tentu best juka Hanim memandu kereta ni," setelah melihat kereta-kereta yang gah lalu di sisinya. Ketika ghairah melihat masa depanku di ruangan kotak fikirannya, aku pasti bahawa Abahku Sayang terlupa bahawa yang dia sebenarnya telah penat berjalan untuk kembali ke rumah untuk bersama-sama dengan isteri dan anak tersayang. Tentu juga ada masanya dia tidak perasan bahawa terdapatnya anak muda yang berkereta gah mungkin hampir melanggarnya dari belakang. Semoga Abah dipanjangkan umur dan dimurahkan rezki darpada anak-anaknya.

Jadi pembaca,
Inilah kereta-keretaku di dunia ini sebelum aku mengenderai kereta terakhirku iaitu kereta mayat. Jom buat ceklist sumbangan kereta anda kali ini.

Aku berdoa semoga Allah terima sumbangan kecil Si Genit Hijau ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...