JOM LAYAN IKLAN

Monday, December 22, 2008

ALHAMDULILLAH, ADIKKU BAIK

Adikku baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan UPSR. Keputusannya - 5A. Alhamdulillah. Seperti yang dijanjikan, aku telah membelikan pelbagai kelengkapan untuknya memasuki alam asrama penuh atau MRSM nanti. Semua baru. Bukannya apa... aku tak nak adik aku kekurangan nanti apabila dia masuk sekolah. Dia ada juga bertanya, kalau-kalau dia tidak dapat asrama, bagaimana? Aku kata "Tak dapat nanti Kak Nim buat rayuan." Nampaknya, kalau dia yang tak dapat... kakaknya yang lebih frust :((

Baru-baru ini, sempat lah jugak adik-adikku berkampung di rumahku. Seronok aku dibuatnya! Maklumlah... bukanlah selalu aku dapat memanja yang kecik-kecik tu... (walaupun kakaknya tu dah beso panjang!) Dibah datang sendiri kali ni ke KL. Mak abah lak benarkan. Mmmm cuak jugak apabila mengenangkan budak kecik naik bas sorang2 gi KL. Dalam zaman moden ni... adik aku yang pergi KL sorang2 tak pula dibekalkan handphone oleh kakak2 nya yang di JB tuh... Ler... apalah salahnya pinjamkan kejap... Apa-apa pun... nasib baik lah si kecik ni tiba dengan selamatnya. Mak pun cuak jugak sebenarnya lepaskan dia sorang2. Apabila Dibah bertolak awal pagi, mak call maklumkan yang Dibah dah naik bas. 2 1/2 jam lepas tu Mak call tanya kak nim dah smpai Pudu ke blom. Itulah kasih seorang ibu... Kak Nim masa mak call dah pun ada kat Pudu. Manalah tau kot2 bas dr JB 3 jam aja.... (Kalau driver bas giler... dari JB ke KL memang boleh 3 jam!). Bas datang awal. Perjalanan cuma 5 jam aja... and kakaak nie pun menunggulah 21/2 yang seterusnya. Masa nampak Dibah pun bukannya Dibah tengah turun bas tapi tengah jalan. Muka dia confident giler!!

Apabila dia ada kat KL dapatlah aku interview adik aku... Macam-macam aku tanya. Aku tanya dia kalau dia kisah kalau aku membelikannya barang2 sekolah nya. Maklumlah... aku ini hantu sales... pantang aja ada JCard Day sales or warehouse sale. Tapi kalau ada sales pun jarang aku beli barang untuk diri sendiri... mesti untuk orang lain. So... macam adik aku yang kecik2 ni kira untunglah... hehehe. Aku teringatlah pulak student aku Azhar yang tegur aku asyik beli barang untuk adik and tak beri pilihan untuk adik pilih sendiri. Aku bukan tak mau dia pilih sendiri... cuma dia tak ader kat sini masa aku membeli barang... itu aja. So... bila aku tanya adik aku maka jawapan yang dia berikan mmg membuat aku terharu... "Ala kak nim... Kalau kak nim belikan dibah kasuk B-fist pun dibah tak kisah. Dibah rasa kasut tu cantik aja..."
Aiks... ada isu ke bebudak kecik ni pasal kasut sekolah. Maka aku pun tanya la...
"Eh kasut BFirst ok apa.... So kalau cam tu kawan dibah pakai apa?"
"Isy ... depa pakai converse!"
"Dibah tak rasa rendah diri ke kalau dibah tak pakai kasut cam kawan diba?"
"Tak pun... dibah rasa kawan dibah yang pakai kasut mahal2 and sibuk ngan handphone nie jenis budak gedik. Geli tengok."
"Gedik? Macam mana?" Terkejut jugak dengar dia cakap cam nie...
Jap nnt sambung

"

Sunday, November 23, 2008

FARDHU KIFAYAH

Sudah lama benar aku tidak menulis di blog ini. Sibuk benar gayanya.

Kali ini aku hanya ingin berkongsi pengalaman aku sebagai seorang muslim di kediaman yang didiami oleh kebanyakan nonMuslim.

Semalam merupakan mesyuarat atau pun taklimat ringkas mengenai penubuhan Joint Management Body di blok ini. Sebagai salah seorang AJK kediaman, aku mesti pergi. Tapi aku sama terkilan dengan pengerusi kerana ramai pembeli rumah yang tidak hadir. Daripada 420 penghuni hanya 8 orang daripada tuan punya rumah yang hadir. Manakala 7 orang lagi merupakan pembeli rumah dari blok kediaman yang lain. Entahlah.. mungkin mereka ada sebab lain untuk tidak hadir.

Kalau nak ikutkan hati aku, aku sebenarnya memang tak mahu hadir. Malas benar rasanya. Tetapi apabila mengenangkan bahawa aku ini telah dilantik sebagai AJK aku mesti tunaikan tanggungjawab aku. Tambahan lagi, akulah sebenarnya wakil daripada nonMuslim. AKU SEORANG SAHAJA. Kalau aku tidak hadir, maka jatuhlah dosa untuk semua pembeli Muslim kerana tiada wakil untuk komuniti ini dari kalangan Muslim.

ILMU FARDHU AIN DAN FARDHU KIFAYAH.

Kifayah dari segi bahasa bermaksud 'mencukupi' dan 'memadai'. Dari segi istilah ia membawa maksud kewajipan yang difardhukan ke atas seluruh umat Islam dengan tujuan untuk menegakkan agama Islam seperti menuntut ilmu al-Quran, ilmu Hadith, menyempurnakan jenazah dan mengajak kepada amar ma’ruf nahi mungkar.

Imam an-Nawawi pula menyatakan bahawa perlaksanaan fardhu kifayah itu dituntut atau dikenakan ke atas semua orang Islam yang mukallaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu dari seluruh umat Islam.

Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama dalam menjalani kehidupan. Sebagai contoh, manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan pengemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu. Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardhu kifayah.

Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardhu ain yang menjadi fardhu kifayah.

Fardhu ain bermaksud perkara yang wajib bagi setiap orang Muslim dan ia mencakupi dua perkara:

Pertama: Mengetahui kewajipan-kewajipan agama yang menjadikan akidah keimanan dan fardhu-fardhu yang ditetapkan oleh Islam itu sah. Ia berupa beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, Hari Kiamat, dan ketentuan qadar yang baik dan jahat. Begitu juga rukun-rukun dan fardhu-fardhu sembahyang, zakat, puasa dan haji. Ini adalah apa yang dinyatakan di dalam hadith Ibn ‘Umar yang disepakati kesahihannya yang bermaksud:

'Dibina Islam itu atas 5 perkara: Menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan fardhu haji bagi sesiapa yang mampu melakukannya.'

Begitu juga mesti mengetahui usul-usul muamalat yang perlu dan mesti wujud di dalam kehidupan setiap orang Muslim untuk bertukar ganti manfaat barangan, menyuburkan kehidupan bermasyarakat dan menstabilkannya seperti halalnya jual beli, meminjam, bersyarikat, ketentuan perwarisan, juga hukuman-hukuman yang telah dinaskan terhadap jenayah seperti hukuman murtad, membunuh, zina, qazaf, mencuri, hirabah dan hukuman meminum arak.

Kedua: Mengetahui perkara haram yang qat’i dan menafikan agama seperti syirik kepada Allah, pengharaman menderhaka kepada kedua-dua ibubapa, menipu, khianat, memakan harta dengan batil, riba, merampas, menipu (putar belit), pengharaman membunuh, zina, qazaf, mencuri, minum arak, pengharaman mendedahkan aurat, wanita-wanita yang menjadi mahram di dalam perkahwinan, pengharaman memakan bangkai, memakan daging babi dan binatang yang disembelih untuk selain Allah kecuali bagi mereka yang terpaksa.

Fardhu Kifayah ialah perkara yang apabila dilaksanakan oleh sebahagian manusia, maka gugurlah kewajipan terhadap manusia yang lain seperti mengetahui perkara secara terperinci tentang sesuatu fardhu ain, hukum-hukum cabangnya dan dalil-dalilnya daripada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas ataupun dalil-dalil lain yang mengikutinya, juga mengetahui seluruh perkara yang diperlukan oleh umat yang mana mereka tidak akan bangun tanpa kewujudannya.

Perkara ini bukanlah sekadar perkara yang berkaitan dengan ilmu-ilmu syariah dan perkara-perkara yang bersangkutan dengannya, tetapi ia menjangkau kepada semua ilmu, kepakaran, pekerjaan dan perindustrian.

Sumber: JAKIM - http://www.islam.gov.my/e-rujukan/lihat.php?jakim=467

Memandangkan bahawa aku perlu menjadi wakil untuk kepentingan semua pihak maka dengan kesedaran itulah aku menghadirkan diriku. Terbuktilah bahawa Islam ini memang agama yang syumul. Kalau malas tak perlu pergi... takpayahlah pikir dosa dan pahala...

Semoga Allah tabahkan hatiku dan memberiku kekuatan untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Amin

Monday, August 18, 2008

A BEAUTIFUL SONG

Ronan Keating ft. Yusuf Islam - Father and Son


Father
It’s not time to make a change
Just relax, take it easy
You’re still young, that’s your fault
There’s so much you have to know
Find a girl, settle down
If you want you can marry
Look at me, I am old, but I’m happy

I was once like you are now
and I know that it’s not easy
To be calm when you’ve found something going on
But take your time, think a lot
Think of everything you’ve got
For you will still be here tomorrow, but your dreams may not

Son
How can I try to explain, when I do he turns away again
It’s always been the same, same old story
From the moment I could talk I was ordered to listen
Now there’s a way and I know that I have to go away
I know I have to go

Father
I was once like you are now
and I know that it’s not easy
To be calm when you’ve found something going on
But take your time, think a lot
Think of everything you’ve got
For you will still be here tomorrow, but your dreams may not

Son
All the times that I cried
keeping all the things I knew inside
It’s hard, but it’s harder to ignore it
If they were right, I’d agree
but it’s them THEY know not me
Now there’s a way and I know that I have to go away
I know I have to go
(father– stay stay stay, why must you go and
Make this decision alone? )



Tuesday, July 15, 2008

CIKGU, IBU BAPA DAN POLITIK


Cikgu, ibu bapa dan politik sebenarnya tak banyak bezanya. Cikgu ni...ke mana-mana pun dia pergi ada sahaja yang ingin dididik mahupun dibetulkan. Bukanlah nak cakap cikgu yang golongan guru ni alah dari kalangan yang perfect, cuma apa-apa yang tak sedap di mata pasti nak diluahkan dalam bentuk untuk membuka mata demi memberi pendidikan. Sebagai cikgu PA, acapkali aku nasihati anak-anakku agar menulis esei mestilah mengikut kehendak soalan. Jangan sesekali terkeluar daripada topik sebenar. Apabila menulis esei, masa yang ada hendaklah digunakan sebaik yang mungkin. Jangan tulis perkara-perkara yang merepek atau tidak menunjukkan kematangan.

Kini, nak pula aku sentuh mengenai pengalaman aku bersama satu pasangan ibu bapa. Salah Si Cikgu tu sekelumit aja...tapi dia menyelar guru tersebut seolah-olah si guru ini telah membuat dosa yang besar.(Cikgu ni sebenarnya aku...) Ibu bapa ini (yang kononnya perihatin terhadap anak kesayangan mereka) ingin membuat aduan kepada pengetua atas sikap guru ini. Aku rasa dia maksudkan aku... Dia menghubungi aku dengan nada tidak puas hati dan memerli. Dia katakan kepadaku bahawa dia ingin berjumpa dengan guru tersebut untuk memarahi dan menegurnya. Melalui perbualan di talifon, dia kedengaran begitu tidak puas hati dan seolah-olah berbunyi ingin menyerang guru ini di sekolah. Aku hanya bertindak tenang dan profesional. Aku menasihatinya, "Puan, kalau Puan datang ke sekolah dengan niat untuk menyerang guru ini, nanti saya khuatir guru ini tidak nampak salah kerana sikap Puan yang menyinga nanti hanya mampu untuk mengaibkan diri Puan sendiri. Kalau nak bercakap jumpa guru tersebut, jumpalah di hadapan pengetua supaya ada bukti secara hitam dan putih. Supaya ada saksi...." Itu lah nasihat aku. Dan sampai sekarang dia tidak pernah berjumpa aku mahupun menelefon aku. Itulah pengalaman aku. Nasib mereka juga aku saksikan. Aku bersimpati. Nak menyorak tak sampai hati pula... Cuma aku bersyukur bahawa apa-apa yang berlaku terbukti yang aku ni tidak bersalah sebenarnya.

Dah 2 perenggan aku merepek. Apakah pula kaitannya dengan politik. Banyak isu dalaman politik yang sedikit sebanyak membuat aku terfikir akan hala tuju Malaysia yang sebenarnya. Aku sebagai seorang guru dan juga nasib rakyat yang dahagakan pemimpin yang mampu menunjukkan contoh melalui tauladan.

Semasa menaip di blog ini, aku juga sedang mendengar debat antara Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek dengan Datuk Anwar Ibrahim. Baru masuk soalan pertama, aku terasa begitu aib sekali. Jika Ahmad Shabery itu pelajar aku, takkan aku restu ilmu yang kuberikan kepadanya. Manataknya, tak ikut cakap cikgu! Kan Cikgu dah kata, semasa menulis esei, hendaklah straight to the point. Jangan merepek. Gunakan masa dengan sebaik-baiknya. Sebaiknya, anak didik entah sapa ni... hanya menggunakan masa yang ada untuk menyelar sejarah muda Anwar. Anwar pula Alhamdulillah, tidak langsung menyelar semula kutukan-kutukan parti kerajaan. Sebaliknya, beliau menggunakan masa yang ada untuk memberi maklumat terbaik, terkini, dan perlu jitu kepada masyarakat. Maklumlah... bukan mudah baginya untuk berjumpa masyarakat melalui kaca televisyen. Anak didik entah sapa tuh pula sibuk mengutuk dan apabila menjawab tidak menepati kehendak soalan.

Para pembaca sekalian,
Aku ini bukanlah ingin mengutuk pihak kerajaan. Sebelum menonton siaran debat ini, aku telah membukakan mindaku 100% agar tidak menunjukkan bias terhadap mana-mana pihak. Ini aku adalah utnuk memenuhi minda naifku dengan informasi terkini sebagai modal untuk mendidik anak-anakku esok nanti. Lagipun, sebagai seorang anak Johor, sudah pasti aku turut mempunyai perasaan kasih dan sayang kepada parti... UMNO.Sememangnya UMNO sebenarnya merupakan pemangkin kepada kemerdekaan tanah air kita.

Namun setelah menonton debat itu tadi, aku tidak tahu kepada sipakah sebenarnya aku perlu memihak? Takkan aku ingin memihak student sapa tah tuh... yang jelas sekali tidak mengikut kata Cikgu. Shabery jelas menunjukkan sikap seperti si ibu bapa yang aku nyatakan di atas. Niatnya untuk berdebat hanyalah untuk mengaibkan Anwar. Dia amat berharap agar pak cik-pak cik kampung akan mengikut kata-kata hinanya yang ditujukan kepada Anwar. Jangan...jangan....PRU12 dah menunjukkan bahawa ada manusia yang telah kecundang disebabkan oleh sikap mereka sendiri yang sudanh menunjukkan unsur-unsur riak... Tetapi di akhir perdebatan, Shabery hanya mampun untuk mengaibkan diri sendiri. Dia bukan sahaja mengaibkan dirinya, malahan diri aku juga. Aku malu nak mengaku bahawa aku ini anak Johor. Anak UMNO... MALU! Tapi, kalau aku memihak kepada pihak pembangkang, ada pula nanti yang kata bahawa aku tidak bersyukur untuk berkerja dengan pihak kerajaan. Kena buang kerja aku nanti!

Intipati perdebatan, tidak perlulah aku ceritakan di sini. Kerana, perdebatan tadi pada pandangan aku tidak memberi aku apa-apa informasi terkini daripada pihak kerajaan. Sebaliknya, aku dapat melihat perkara yang aku tidak tahu daripa parti pembangkang.

Yang kita lihat ini adalah perdebatan secara terancang. Ada tempoh masa yang diperuntukkan agar setiap pihak dapat memberikan pendapat dengan cara yang terkawal. (Walaupun sebenarnya mulut orang dan sikap syaitan itu tidak boleh dikawal dengan mudah). cuba kita lihat pula cara-cara wakil pemimpin kita berdebat di parlimen. AKU MALU!!! Mengapalah perdebatan mereka tidak ubah kanak-kanak yang berebutkan gula-gula? Kutuk mengutuk, hina dan menghina hanya menunjukkan sikap pemimpin kita yang memalukan. Di manakan slogan kepimpinan melalui tauladan?

Entah lah.... Apa-apa pun, kepada semua pembaca yang menonton debat itu tadi, apakah perasaan kamu semua? Malu jugak tak macam saya ni? Hanya yang benar sahaja yang akan menonjol satu hari nanti.
Kesimpulannya, aku sebagai Cikgu ingin melihat mana-mana pun anak didikku memperbetul diri masing-masing. Aku sebagai Cikgu pula harus juga berusaha untuk memperbetulkan diri agar tak lah nanti orang kata, bagai mengajar anak ketam berjalan, guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari.

Wednesday, July 2, 2008

TAK SEDAR DIRI DIUNTUNG

Hari ini aku hanya ingin mencurahkan perasaanku sahaja. Telah berlaku beberapa perkara dalam hidupku sejak dua menjak ini. Ada yang baik ada juga yang menjengkelkan. Tetapi yang menjengkelkan itu lebih daripada yang baik.

Pertama dan yang paling membuatkan diriku sedih melihat anak bangsaku sendiri yang alpa walaupun telah diberi pelbagai dorongan dan bantuan: tak sedar diri diuntung.

Julai merupakan bulan yang paling dinanti-nantikan oleh semua pelajar lepasan SPM dan STPM. Mana tidaknya, masing-masing menunggu keputusan panggilan untuk ke matrikulasi ataupun ke universiti. Bagi pelajar-pelajar lepasan STPM (terutamanya anak Terataiku) ada antara mereka yang diterima masuk ke universiti. Yang tidak berjaya mendapat kursus pilihan di universiti tempatan akan meneruskan pengajian di kolej-koleh swasta yang pastinya dibiayai oleh ibu bapa masing-masing. Itu nasib mereka. Maklumlah mereka berduait. Aku gembira dengan kebolehan mereka untuk membayar untuk belajar kerana mereka sememangnya mampu. Aku masih lagi teringat akan diriku sendiri. Pada ketika itu, aku mendapat 2 tawaran daripada 2 universiti yang berlainan. Kursus juga berlainan; TESL di UM dan Accounting di UUM. Namun, atas desakan keluarga yang tidak berada aku menerima tawaran untuk menjadi seorang guru.

Abahku kata, "Jadi cikgu senang. Mesti ada kerja. Tak perlu tulis resume. Gaji cikgu pun sekarang tinggi. Banyak pun faedah kerja sebagai cikgu. Lagipun karier ini sesuai untuk perempuan. Biasiswa pun dapat. Tak payahlah sibuk cari biasiswa lain. Hutang pun tak ada."

Atas dasar inilah aku pun menjadi seorang guru. Seronok rasanya menjadi seorang guru ni. Apabila berjalan di koridor, pasti ada pelajar yang mengucapkan "Selamat pagi, Cikgu." Bukankan itu satu doa untukku? Apabila aku marah, pasti ada yang akan memujuk. Apabila ada yang sedih, aku jadi tempat rujuk. Kalau ada yang membawa berita gembira, aku pun tumpang bahagia. Semua anak didikku aku layan tidak ubah seperti anak atau kawan. Seronok bersama mereka. Mengajar mereka sebenarnya mukanlah semudah mana. Apa-apa pun kerja manalah yang senang kan? Apa-apa pun, kesesuaian aku dalam bidang ini semuanya merupakan berkat doa ibuku. Siang malam dia berdoa agar Allah membukakan hatiku untuk aku menyukai bidang ini. Maklumlah.. cita-citaku kan untuk menjadi seorang ahli akauntan atau remiser. Menganalisa ekonomi dunia adalah cita-citaku juga. Kata orang... cita-cita yang glamor... Mmm.. mesti ada yang tertanya-tanya sebab aku meninggalkan cita-citaku walaupun aku telah menerima tawaran universiti untuk kursus kegemaranku. Pertama, aku sebenarnya tidak pun tahu yang aku menerima tawaran untuk membuat accounting. Maklumlah.. abah sorokkan surat tawaran :( Surat daripada UM samapi dulu... Kedua, aku sedar keluargaku ni susah. Jadi, aku tidak boleh meminta-minta. Apa yang aku dapat ini aku harus bersyukur. Betul kata abah, aku akan dapat biasiswa untuk menampung pengajianku. Jadi abah tak lah perlu susah. Aku pun tak lah perlu susah turun naik pergi untuk temuduga. Masa ini, maklumat berkaitan bantuan biasiswa terhad. Tidak macam sekarang ini, tekan bebutang komputer aja, semua senarai pemberi biasiswa tersenarai. Ketiga, JANGAN JADI ANAK DERHAKA! Ikut kata mak abah. Insya Allah, berkat hidup aku sebagai seorang guru nanti.

Jadi, persoalannya, apakan perkara yang menjengkelkan aku sangat ya? Tajuk pun "tidak sedar diri diuntung." Begini, sebenarnya, ada antara pelajar aku ini telah mendapat tawaran untuk menjadi guru. Guru Khas pulak tu. Aku amat gembira melihat surat tawaran yang aku muat naik dari Internet. Rupa-rupa, anak didik aku ini tidak terbuka hatinya untuk belajar. Aku pun tidak tahu apakan yang diingininya. Masuk tingkatan 6 pun dia tidak mahu. Sebaliknya duduk rumah menghabiskan masa dan beras mak bapak. Kerja pun dia tak mahu. Kalau boleh kahwin tak pe jugak. Ni tak. Buat hati mak abah tu merana pulak. Iyalah... mak abah tu sebenarnya dah terbayangkan yang anak sorang ni akan membantu keluarga suatu hari nanti. Anak ini akan menjadi pengubah nasib keluarga. Anak ini akan menjadi dorongan kepada adik-adik semua. Maklumlah, hidup selama ini pun bukannya mudah. Si abah asyik bertukar kerja untuk meampung keperluan keluarga yang bertambah. Semua anak-anak bersekolah. Harga minyak, makan semua dah naik. Kalau ada anak yang membantu suatu hari nanti kan mudah sikit. Kalau anak hidup mewah pun, sebenarnya si mak abah bukannya nak makan semua harta dia. Mak abah tu cuma nak tumpang bahagia sahaja.... Namun si anak ini mula menunjukkan keras kepala. Terlupa yang si abah ini terpaksa mengambil cuti untuk menemankannya pergi temuduga kelmarin. Entah-entah si abah tu terpaksa ambil cuti tanpa gaji untuk menemaninya. Niat si abah itu amat mulia pastinya. "Biarlah ikut anak pergi temuduga. Inilah aku sebagai ayah untuk anak. Sumber inspirasi untuk si anak menjawab soalan-soalan. Moga-moga si anak ini dapat tawaran ini." Tentu tidak putus-putus Si abah berdoa.

Kini tawaran di dalam genggaman. Tapi keputusannya untuk pergi negatif. Mmm.. sedih si ibu ayah. Aku lagilah sedih. Sedih tak terkata. Peluang depan mata tapi bangsaku buta. Takut... Patutlah banyak musibah menimpa diri kita.

Doaku semoga si anak ini dibukakan pintu hatinya untuk menerima kerjaya yang amat mulia ini. Ingatlahlah.... emak abah tentu akan gembira. Kegembiraan mereka penting untuk kita. Jangan jadi anak derhaka.

Sunday, June 8, 2008

SAYA CIKGU HANIM

Hari ini, hatiku berbunga-bunga menerima sms daripada bekas pelajarku MunYee. Dia ingin mendapatkan butir-butir diriku sebagai referral bagi membolehkannya untuk mengisi borang pengajian perubatan di Moscow.

"Cikgu, MY sini. I nak minta alamat cikgu. Sebab I dapat surat tawaran dr medical uni di moscow, rusia. Hujung bulan aug nak pergi. Uni itu beri kita borang utk isi butiran spy dpt mohon loan dan biasiswa dr kementerian pertahanan ngr kita. Dalam borang tu, n reference. jadi i nak minta cikgu jadi reference saya".

Balasanku,
Boleh dear. Happy to hear the news. Leftenan Dr Mun Yee.

Dan balasannya pula,
Aiya cikgu jgn ketawakan saya. Tapi saya gembira dpt restu cikgu. Saya selalu ingat kata-kata cikgu. Walaubagaimana kita rajin atau bijak paling penting mesti dapat restu cikgu. Saya janji akan belajar dengan tekun dan akan beri sumbangankpd ngr n bangsa di ngr kita sendiri. Walau saya belajar di luar negara, saya akan kembali berkhidmat di negara sendiri. Hehe kata-kata cikgu akan sentiasa saya ingat.

Ada juga antara pelajarku yang ingat kata-kataku. Sama seperti Marianne dan juga Sabrina yang sehingga kini akan menghantarku email untuk aku merestui mereka sebelum mengambil peperiksaan di kolej. Mereka semua pelajar cemerlang di sekolah mahupun di kolej masing-masing. Aku bangga akan pencapaian mereka. Lebih membanggakan diriku, kecemerlangan mereka disusuli dengan sikap rendah diri dan tidak pernah angkuh terhadap orang lain. Aku masih ingat lagi MY yang berusaha untuk mengajar rakan-rakan sekelas dalam subjek Bio. Dia mengajar dengan sabar dan bersemangat. Aku memang sentiasa menggalakkan anak didikku yang bijak untuk mengajar rakan mereka yang lemah. Cara itu bukan sahaja mengajar mereka untuk berkongsi ilmu, malah apa-apa yang diajarkan kepada rakan itu tentu akan memudahkannya untuk menjawab dalam peperiksaan. Keputusan mereka pun cemerlang. Apabila melihat kejayaan mereka, aku katakan kepada diriku, aku bukan Cikgu Hebat, aku hanya Cikgu Hanim tetapi pelajar-pelajarku hebat belaka.

Kepada Mun Yee,
Selamat belajar. Apabila sudah jadi doktor ingat akan janji kamu yang pernah kamu luahkan kepada cikgu dulu. Kamu ingin menjadi doktor kerana ingin membantu masyarakat terutamanya mereka yang kurang bernasib baik. Jangan jadi doktor yang hanya ingin mengaut keuntungan. Apabila berada di negeri orang jaga diri. Jaga adat dan tradisi kita. Jangan cemarkan maruah diri, keluarga dan juga bangsa. Hidup jangan alpa. Dalam kesibukan untuk belajar nanti, jangan lupa untuk jaga kesihatan diri. Makan minum mesti dijaga. Sekali sekala pergilah melancong. Tenangkan fikiran. Nikmati juga keindahan negeri orang. Nanti suatu hari apabila kita berjumpa, bolehlah kamu ceritakan semua pengalaman ini kepada cikgu nanti.

Salam sayang daripada cikgu.

Sunday, May 18, 2008

SELAMAT HARI GURU. TO ALL MY STUDENTS: THANK YOU


From right : My darlings Adlie, Aniz, Syafiq, Azhar, Anis and me. Gasing trip.


My dear 5 Jasmin batch 2005.


The clowns of 5Br


They borrowed my phone n took this. I believe the grey pants belongs to Hong Chun.


My dear Teratai. The happy go lucky students who love to hang around (anywhere) make noise, pull hair, etc. From right, Abhishek (in black), Tiiben, Sasee, Samantha, yuen Yim, Down: Kar Mun, Deepika and Callie.

Once in my life, I did underestimate the teaching profession. Being a teenager lost in my own world, I did not understand the meaning of working satisfaction nor being underpaid.

But today, I want the world to know that I love this profession.
So, this is me as a teacher...

When I walk passing by my students I would hear them greeting me "Selamat pagi Cikgu" and I would reply "Selamat Pagi". When I call them, I do call them Sayang, or dear or any cute names that refer to the meaning of love and care. I love my students who would cheer me up when they sensed that I'm down. I love them even when they are naughty for I know this would be the time I have to correct them. I love them when they ask me questions for asking me means I have to check myself, to double check with the knowledge that I thought I knew, to recheck myself whether I do equip myself with what they wanna know and etc. I love my students when they talk to me even when the words do not come from their mouths for they talk through their eyes telling "terima kasih cikgu."

And to all my students,
I am not a teacher without you guys.
I am not a teacher if you do not call me teacher of Cikgu.
I am not a teacher if you do not learn anything.
And for all the respect and love you give me,
Today I would like to say thank you.
Thank you for being my students.
AND TO ALL... I LOVE YOU

Salam Sayang,
Ikhlas...
Cikgu Hanim Salleh

Friday, March 28, 2008

KERETAKU DI DUNIA INI

Keretaku du dunia yang pertama sekali merupakan kereta Waja dengan nombor pendaftaran WKS34. Kereta tersebut kukongsi bersama Sayangku. Tempoh penggunaan hanya 4 tahun sahaja. Kini aku memandu Si Genit Hijau Viva Auto BJS6272 manakala Sayangku memandu Si Macho Honda Civic BJR5155. Kedua-duanya dibeli pada hujung tahun lepas bagi menyelesaikan masalah perkongsian kereta yang seringkali menyusahkan kami berdua. Apa-apa pun, di sini tidak ingin sekali aku menunjukkan keriakkan diri ini terhadap perkara duniawi kehebatan kenderaan-kenderaan milikku kecuali hanya ingin mengingati bahawa diri ini hanyalah insan biasa yang banyak dosa. Berbuat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

Mengingati keretaku yang pertama bukanlah untuk merindui kehebatannya tetapi untuk kulihat pengorbanan keretaku untuk manusia sejagat setakat yang mana aku mampu buat. Si Waja pernah juga berbudi membawa para pelajarku ke pelbagai lokasi pertandingan. Itu memang pengorbanan biasa mana-mana kereta milikku termasuklah Si Macho Honda dan Si Genit Viva. Ini juga termasuk menumpangkan beberapa orang pelajarku ku sekolah setiap hari. Seingat-ingatku Si Waja pernah juga membawa beberapa insan yang tidak kukenali untuk ditumpangkan ke rumah mereka yang jauh dari perhentian bas. Masih kuingat sekumpulan kanak-kanak lelaki yang basah dek hujan lebat pun pernah juga kutumpangkan. Mereka agak nakal dan suka bertanya pelbagai soalan mengenai keretaku. Namun, sedikit masa cuma itu aku terhibur melihat teletah mereka. Hari itu keretaku basah luar dan dalam :) Tapi tak mengapa, saat menumpang mereka itu lebih berharga...

Seterusnya Si Genit Hijau Viva. Kereta baru ini belum lagi banyak membuat pengorbanan. Sumbangan setakat ini hanyalah sumbangan biasa seperti membawa pelajar ke sekolah dan ke lokasi pertandingan termasuklah membawa adik-adikku pulang. Tetapi hari ini, dalam perjalanan pulang, aku terlihat seorang pakcik Cina tua yang berjalan di bawah matahari terik. Kudapati dia sering menoleh ke belakang. Mengapa yek? Aku tertanya-tanya dalam diri ini. Kulihat umurnya benar-benar lanjut. Mungkin umurnya belebihi 70 tahun. Sama umur abahku tersayang. Apabila teringatkan Abahku sayang dengan segera aku memusingkan Si Genit Hijau. Abah selalu ditumpangi oleh insan-insan yang ikhlas membantu untuk ke masjid dan sekembali dari masjid. Jika tiada yang sudi menumpangkan Abah, tentu abah kepenatan balik selepas beribadah. Tak sampai hati rasanya melihat Abah kepenatan apatah lagi keletihan di saat tua tentunya berbeza dengan kepenatan di saat umur muda. Maka mulalah perkenalanku dengan Pakcik Looi. Dia seorang yang peramah menanyakan namaku. Katanya dia ke pejabat pos dan kemudiannya ke Giant untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Pandai pakcik ini berbahasa Malaysia kerana sepanjang perbualan singkat kami, dia bertutur penuh dalam bahasa. Jauh lebih baik daripada para pelajarku yang gemar berbahasa Inggeris. Rumah pakcik ini sebenarnya tidak jauh daripada rumah aku. Blok Harmoni sahaja. Selepas menghantarnya pulang, hatiku amat gembira. Menitis jugak air mataku selepas menurunkan pakcik Looi. Terbayang aku akan Abah yang selalu berjalan di samping insan yang memandu kereta-kereta Kancil, Viva, Iswara, Gen-2, Perdana, Mercedes, BMW, dan lain-lain. Tentu Abah hanya melihat sahaja kereta-kereta itu berlalu pergi namun tentu ada ketikanya hatinya berdetik " Tentu best juka Hanim memandu kereta ni," setelah melihat kereta-kereta yang gah lalu di sisinya. Ketika ghairah melihat masa depanku di ruangan kotak fikirannya, aku pasti bahawa Abahku Sayang terlupa bahawa yang dia sebenarnya telah penat berjalan untuk kembali ke rumah untuk bersama-sama dengan isteri dan anak tersayang. Tentu juga ada masanya dia tidak perasan bahawa terdapatnya anak muda yang berkereta gah mungkin hampir melanggarnya dari belakang. Semoga Abah dipanjangkan umur dan dimurahkan rezki darpada anak-anaknya.

Jadi pembaca,
Inilah kereta-keretaku di dunia ini sebelum aku mengenderai kereta terakhirku iaitu kereta mayat. Jom buat ceklist sumbangan kereta anda kali ini.

Aku berdoa semoga Allah terima sumbangan kecil Si Genit Hijau ini.

Saturday, February 16, 2008

TEKNIK PENULISAN





Kepada semua putera dan putera Cikgu.
Tonton video tersebut. Cikgu Ghalib Yunos adalah seorang yang tidak asing dalam dunia Bahasa Melayu. Beliau juga merupaka salah seorang daripada panel penulisan buku teks Bahasa Melayu tingkatan 4 dan 5.

Selamat belajar

MINGGU BAHASA DAN MINGGU PENGAJIAN AM


Latihan mengikut babak

Usaha-usaha untuk memperbaik mutu lakonan.

Pelajar 5Br bersedia untuk lakonan terhebat abad ini :)


Sepanjang minggu selepas sambutan Tahun Baru Cina ini, 11/2-15/2, merupakan Minggu Pengajian Am dan Bahasa Malaysia. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah kuiz dan juga drama. Semua anak-anakku menunggu-nunggu saat untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam seni pementasan. Walaupun telor bahasa ibunda masing-masing sangat kuat (35 palajar Cina dan 3 pelajar India), namun semangat kekitaan yang mereka tonjolkan benar-benar telah membawa mereka ke mercu kejayaan. Aku amat terharu terhadap kerjasama yang mereka tunjukkan.

Walaupun, aktiviti ini merupakan aktiviti bersempena Minggu Bahasa, aku mengambil kesempatan untuk menggunakan platfom ini untuk mengajar mereka pebagai perkara dan sudah pasti P&P ini tentu akan bersangkutan dengan P&P ICT. Kali ini pelajar diberi tugasan yang lebih kompleks daripada biasa. Mereka diminta untuk mewujudkan organisasi yang dapat memastikan perjalanan persembahan berjalan dengan lancar, membuat rakaman video, menghasilkan pamplet, menulis blog, membuat laporan aktiviti, belajar mengendalikan mesyuarat, belajar memberi komen yang membina, dan banyak lagi. Walaupun berat, aku percaya mereka telah mempelajari pelbagai perkara. Malah lebih daripada rakan-rakan seangkatan mereka di sekolah ini.

Antara objektif P&P ini adalah untuk menerapkan nilai kerjasama dan memberikan pendedahan tentang pelbagai perkara yang berlaku dalam kehidupan yang sebenarnya. Aku tidak mahu anak-anakku tahu menulis minit mesyuarat tetapi tidak pandai mengendalikan mesyuarat. Aku tahu bahawa anak didikku mempunyai pelbagai kelengkapan ICT dan gadjet elektronik yang canggih tetapi tidak pandai menggunakannya secara yang terbaik. Aku mahu mereka berfikiran kreatif dalam menghasilkan sesuatu tugasan dan berusaha untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik. Mereka selalu mengatakan bahawa aktiviti P&P di luar negara sangat menarik kerana murid-murid di sana diberi peluang untuk melakukan pelbagai aktiviti berbentuk projek. Kali ini, sudah pasti akan aku berikan kepada mereka pelbagai projek dan sudah tentu projek-projek ini berguna juga untuk peperiksaan yang bakal mereka hadapi pada hujung tahun nanti. Itulah namanya pengalaman pembelajaran. Teori pembelajaran melalui pengalaman ini sebenarnya telah diasaskan oleh Jean Piaget seorang ahli psikologis dan biologis. Proses pengajaran dan pembelajaran menurut beliau, dipengaruhi oleh faktor biologi seseorang dan setiap manusia normal mempunyai tahap-tahap perkembangan pemikiran mengikut tahap umur yang dinyatakan dalam kajian beliau (genatic epestemology). Anak didikku semuanya dalam lingkungan umur 16 hingga 17 tahun. Ini bermakna bahawa mereka berada di tahap akhir tahap perkembangan yang dinyatakan oleh Piaget yang mana mereka sebenarnya berupaya untuk memahami sesuatu konsep yang abstrak. Ini membolehkan mereka melihat sesuatu perkara yang tersirat dan sudah pastu berupaya untuk melaksanakan tugasan kerja yang agak kompleks. Kalau mereka tak mampu, maka tahap pemikiran mereka tidak ubah seperti kanak-kanak tadika sahaja.

Tugasan sebenar bersempena aktiviti yang dijalankan masih belum disiapkan sepenuhnya. Selepas semua tugasan dihantar, barulah aku boleh menilai mutu hasil kerja mereka. Melepaskan batuk ditangga ataupun sebaliknya.

Wednesday, February 6, 2008

PERSARAAN PUAN PHUA AH ENG





Pn. Phua Ah Eng merupakan guru berjawatan HEM di sekolahku. Perkenalanku yang pertama dengan beliau adalah ketika beliau menyambut kedatanganku di SMK Taman SEA pada tahun 2000. Ketika itu aku ditempatkan di sesi petang. Selama di sana aku mengenali Pn Phua sebagai seorang yang penyayang. Tak pernah pun sebenarnya beliau memarahi murid-murid dengan nada yang tinggi. Semua pelajar sayang akannya. Aku masih ingat ketika seorang guru yang telah pun berpindah dari sekolah ini mengadu bahawa beliau memarahi beberapa orang murid atas kenakalan mereka dan mengugut mereka untuk dihantar kepada beliau. Murid-murid tersebut dengan nada yang berani mencabar guru tersebut untuk dibawa kepada Pn Phua. Mereka percaya bahawa Pn Phua akan membela mereka. Jelas menunjukkan bahawa Pn Phua dikasihi pelajar.

Pn Phua pandai memujuk. Dia sentiasa dapat berkata-kata dengan baik walaupun situasi tersebut agak tegang. Aku masih ingat ketika aku agak keberatan untuk menyertai aktiviti untuk pilihan raya. Namun begitu, kata-kata beliau sungguh lembut dan dia tahu aku akan kalah dengan ayat seperti "It's good for u & u can learn s lot." Apabila beliau dinaikkan pangkat sebagai HEM, aku lihat diri Pn Phua tidak seceria ketika beliau di sesi petang. Tentu bebanan kerja yang berat telah membuatkan beliau agak tertekan. Macam manapun, murid-murid tetap menyayangi beliau. Bukan sahaja murid-murid sayang akan beliau, malahan juga guru-guru. Kalau ada apa-apa teguran, Pn Phua akan memanggil guru tersebut dengan cara yang amat tersembunyi tidak seperti sesetengah pihak yang lantang menegur di khalayak ramai. Cara ini sudah pasti tidak mengaibkan pihak yang ditegur. Aku suka cara ini. Dengan cara ini aku akan lebih berhati-hati dalam majalankan tugas sebagai seorang guru dengan cara yang lebih profesional. Jika aku ditegur dengan cara yang menyakitkan hati, tentu aku akan rasa bersalah dan rendah diri. Terasa bagai dibenci. Pn Phua memberikan aku semangat sebagai sesorang pendidik muda di sekolah ini. Di bawah Pn Phua jugalah pada tahun keempat berkhidmat, aku dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Alhamdulillah. Ini semua dorongan, galakan dan kepercayaan yang telah diberikan Pn Phua kepada aku.

Pada tanggal 4 Feb yang lalu, Pn Phua menyambut hari lahir beliau yang ke 55 dan ini turut bermakna bahawa beliau akan menamatkan perkhidmatan sebagai seorang guru di sini. Dari awal pagi sehinggalah ke saat beliau pulang, beliau tidak henti-henti menitiskan air mata. Tentu berat perasaan beliau untuk meninggalkan sekolah ini. Maklumlah sudah 25 tahun berkhidmat menucurahkan bakti di sini. Pada hari ini jugalah sekolah mengadakan uapacara gilang gemilang untuk Pn Phua. Konsert diadakan dari padi hingga ke tengahari. Mmmm..... Aku pun tak mahu ketinggalan. Bersama-sama beberapa orang guru lain aku menari! Agogo lak tuh!! Dengan perasaan malu-malu kucing, aku menempatkan diriku di bahagian paling belakang sekali dengan harapan tak adalah yang perasan. Aku berdiri berhampiran dengan backdrop hati. Bajuku berwarna merah kain pula hitam. Hati itu berwarna merah berlatarbelakangkan warna hitam. Oleh itu, diriku dan backdrop akan 'serasi'. Hahahah.. seronak rasanya dapat menari walau pun diriku sebenarnya agak kaku ketika menari :)) Apa salahnya. Sekali sekala... berhibur dan menghiburkan :)

Sebenarnya, sepanjang majlis persaraan ini, aku berfikir. Aku melihat Pn Phua. Dia sedih meninggalkan sekolah ini. Dia 'hidup' di sekolah ini. Lihat sahaja sambutan para murid. Mereka semua turut sedih akan kehilangan seseorang yang memahami mereka. Sekarang, aku ingin pula tanyakan tentang diriku. Adakah diri ini mampu memberikan harapan kepada anak didikku yang memerlukan? Adakah diri ini seorang yang disanjungi atau ada sahaja bahan untuk dikutuk dan dilupakan? Aku tidak mahukan pangkat atau jawatan yang hebat dalam bidang pendidikan ini tetapi aku mahu 'menyentuh' kehidupan. Mereka adalah anak didikku. Terus terang aku katakan, bahawa aku tidak tahu diriku ini di mata mereka. Biarlah pada hari persaraan aku nanti aku dapat melihat semua kejayaan anak didikku dan ini semua bukti kepada menefestasi sentuhanku. Insya Allah. Biarlah kulihat kejayaan 'batch' muridku yang pertama Azhar, Adli, Anis, Julie, Syafiq, Hock Jeen dan lain-lain lagi. Semoga berjaya sayangku.

Friday, February 1, 2008

PROJEK HAMPER



Wow! Satu lagi Projek Hamper oleh SMK Taman SEA. Tahun ini bilangan hamper telah menurun. Kurang 95 hamper berbanding tahun lalu. Maklumlahlah.. kali ini projek ini dibuat sebelum CNY. Jika selapas CNY tentu lebih banyak kerana anak-anakku akan menerima pelbagai hamper buat keluarga yang akan turut merupakan rezki untuk mereka yang tidak bernasib baik. Seperti biasa, perhimpunan khas telah diadakan pada sebelah pagi. Beberapa wakil dari rumah kebajikan telah dijemput untuk menerima sumbangan hamper tersebut. Kanak-kanak dari sebuah rumah kebajikan telah turut hadir untuk membuat persembahan. Walaupun cacat, mereka sangat ceria. Apabila tiba sahaja di pentas, mereka bergaya sakan seperti model :D Persembahan mereka cukup menyentuh perasaan. AKU MENANGIS.... Hhuhuhuhu

Projek Hamper kali ini, aku bawa anak-anakku melawat LOVELY HOME di SS3 Petaling Jaya yang terletak kira-kira 3km dari sekolah. Sayangku yang berada di tingkatan 6 memandu kenderaan sendiri manakala akan-anak di tingkatan lima aku sendiri yang bawa.

Apa-apa pun bagiku, hari ini aku membawa bilangan pelajar yang lebih ramai ke rumah kebajian. 33 orang semuanya. Kelas 5BR, 5A, 6AK, 6AB dan 6AM. Tahun lalu hanya 13 orang sahaja. Jelas sekali pada tahun ini, lebih ramai lagi anak didikku yang akan lihat kesengsaraan yang terpancar di wajah mereka yang ditinggalkan keluarga disebabkan oleh kemiskinan dan kekurangan fizikal mareka. Aku sempat bermesra dengan seorang penghuni India. Banyak soalanku. Barangkali semua soalanku agak menyentuh perasaan, penghuni tersebut menitiskan air mata. Alahmdulillah... aku masih ada yang sayang, keluarga yang dikasihi, suami tercinta, dan berada di samping anak-anakku yang walaupun nakal namun cukup memberikan aku erti kekayaan kasih sayang.

Semua para pelajarku sibuk membantu di rumah kabajikan ini. Raj sibuk mengelap katil besi. Hsu-Cherng, Hong Chun, Shong Sheng, Kwan Hann, Chen Lung sibuk mengelap lantai. Lee Ling mencuci akuarium. Jia Jian, Zuza, Mid,Wei Boon, Pei Yin, Wei Voon, semua lah... sibuk buat itu dan ini.

Semoga anakku benar-benar dapat menghargai erti kehidupan.

Friday, January 25, 2008

DECLARATION OF LOVE - FROM MY STUDENTS

JUST FOR YOU PN.
Heavenly treasured
As well as
Noticeably nice
Intellectual yet
Marvellously merry
bt
Speacially
Awesome and
Loves to
Love people
Especially her
Husband

From all my 5 Br darlings.
Done by Hsu-Cherng & Wen Liong


Inilah tinta-tinta kasih para pelajarku dari 5 Bunga Raya.
Hatiku terus berbunga-bunga.
Betul... cikgu tidak berbohong bahawa... yang menceriakan hari-hari Cikgu adalah kehadiranmu wahai anak-anakku.

Salam Sayang
Cikgu

Sunday, January 20, 2008

TONTON GUBRA



Pada hari Jumaat (180108) yang lalu, aku membawa anak muridku menonton filem Gubra arahan Yasmin Ahmad. Perjalanan cerita ini agak kontraversial memandangkan bahawa pengarah filem memaparkan banyak isu sosial yang agak sensitif dan sering berlaku di Malaysia di samping menengahkan isu kepelbagaian kaum. Keunikan temanya merupakan antara sebab aku membawa mereka menonton filem ini. Keunikannya membolehkan aku mengupas pelbagai objektif pengajaran dan pembelajaran kurikulum tersembunyiku dalam subjek Bahasa Malaysia.

Disebabkan oleh faktor bahawa majoriti para pelajarku berketurunan Cina dan amat fasih berbahasa Inggeris dan pengetahuan yang agak mendalam dalam bahasa Malaysia, filem ini bersesuaian dengan mereka. Walaupun, perjalanan cerita filem ini agak sensitif, aku sebenarnya ingin mengajar para pelajarku akan erti berfikiran kritis dan berupaya untuk menimbang yang mana baik dan yang mana buruk. Apatah lagi para pelajarku sememangnya aktif menonton pelbagai jenis filem yang agak kontroversi seperti Da Vinci Code, Sepet, dan lain-lain lagi. Tambahan lagi, mengupas isu kemasyarakatan juga menjadi objektif P&P. Semuanya bertujuan untuk membentuk pelajar yang matang serta berhemah dalam membincangkan perkara-perkara yang agak sensitif dan turut memikirkan pendapat orang lain terhadap pemikiran mereka.

Laporan penuh P&P ini akan dibincangkan kemudian.

Friday, January 18, 2008

TAHUN BARU

Salam kepada semua pembaca dan Selamat Tahun Baru.
Tahun baru sentiasa disertai azam baru. Begitu juga diriku. Salah satu azamku adalah untuk mendidik anak didikku dengan segala ilmu di dada dan ilmu di dunia (dalam dada tak cukup lagi :( ) Slah satu caranya adalah dengan memastikan blog ini sentiasa dikemas kini untuk tatapan anak didik. Objektif kali ini adalah penulisan untuk refleksi diri untuk pengembangan diri.

Mengapakah refleksi diri? Refleksi diri penting untuk memperbaik diri ke arah sikap yang lebih positif. Refleksi diri untuk melihat kemajuan orang lain dan melihat perkembangan diri. Refleksi diri untuk sedar bahawa kita ini sebenarnya bersifat kekurangan dan memperbaik diri adalah satu sifat yang mulia. Tak usah lah disebut kesilapan yang lalu kerana tahun baru ini sudah pasti yang baik itu menjadi tauladan dan yang buruk itu menjadi sempadan.

Ini juga termasuk semua pandanganku terhadap semua anak didikku. Kalau tahun lalu ada antara mereka kulihat nakal dan malas untuk membuat tugasan yang diberikan. Tahun ini... aku ingin melihat mereka sebagai seorang yang sebenarnya berjaya, rajin berusaha dan hormat akan semua pihak. Aku lihat mereka kali ini sebagai sehelai kain putih yang sedia untuk dicorakkan pada tahun ini. Cuma harapanku bahwa anak-anakku turut bersedia untuk menerima perubahan dan lebihkan kritikan untuk diri sendiri daripada melakukan kritikan yang tidak sihat untuk orang lain seperti guru mahu pun sahabat yang lain.

Di sini ingin kukongsi juga pengalaman tahun baru bersama-sama anak didikku dalam menempuh tahun baru. Peristiwa ini akan kuingat sampai bila-bila pun kerana jelas menunjukkan bahawa sisa-sisa kudrat yang kubawa dari tahun lalu disuntik dengan satu tenaga yang luar biasa oleh anak-anakku yang kukasihi.

Masuk sahaja ke tingkatan yang kukasihi buat pertama kalinya pada tahun ini, mereka telah memberikan tepukan kepadaku. Seolah-olah aku sedang memasuki ke sebuat pentas. Sebuah pentas yang aku sendiri tidak tahu rencananya. Semua wajah yang kulihat berseri-seri dan semuanya sebenarnya memberiku lautan harapan. Aku terharu... aku ingin menangis. Ada juga yang terlari-lari ke hadapan memintaku memberikan 'hi10'. Rakaman visual saat itu sudah tentuny tidak ada, namun kenangan itu tidak akan luput dari ingatanku dan akan kuceritakan kepada sesiapa pun kerana itulah kenangan manis yang kulalui sebagai seorang pendidik. Manalah tau kalau-kalau ada rezki menjadi tokoh guru ke... atau ada mana-mana pihak yang ingin menemuramahku berkaitan pengalamanku.. maka pengalaman ini akan kupastikan diceritakan kepada semua.

Awal tahun ini, seperti yang disangka, ada yang akan meninggalkan kumpula yang kusayangi ini. Namun, kata orang-orang tua, patah tumbuh hilang berganti. Bagiku, serupa tapi mungkin tak sama. Mestilah.. lain-lain orang sikap dan sifat pun tentu berbeza. Aku akan melihatnya sebagai insan yang akan sentiasa berusaha untuk berbicara denganku dalam bahasa. Heheheheh.... gonna miss that.... Sempat juga aku abadikan kenangan ini dalam sajakku....

Bait-bait Bicaraku

Sayangku,
Inilah bait-bait bicaraku,
Yang mungkin tak seberapa,
Tapi iklas dari lubuk jiwa.

Kasihku padamu wahai anakku,
Seikhlas kasih ibu,
Kasih yang tak mengenal warna,
Kasih yang tak mengenal bangsa,
Kerna kulihat kasihmu untukku dari matamu yang ikhlas menerima ilmu,
Yang tak sebesar mana dariku.

Pengertian ini membuatkan
Diri kerdil ini sentiasa berkobar,
Untuk sentiasa bersamamu,
Mendidik dirimu dan juga diriku,
Melihat kejayaan anak bangsa,
Menempah nama dihormati dunia,
Membentuk mansyarakat peribadi mulia,
Kerna hanya dari itu kutahu diriku ada harga.

Pemergian anakku ini,
Pasti terobek jiwa,
Kekosongan bangkumu kan terisi,
Barangkali oleh yang serupa....
Tapi tak kutahu dirinya pasti tak sama.

Simpulkan kenangan,
Abadikan dalam ingatan,
Ingatkan dirimu bahawa tinta kasih ini
Khas untukmu,
Dari Cikgu ,
Yang bakal merinduimu....

Hanim Salleh
SMK Taman S.E.A
17 Januari 2008

Selamat menempuh alam yang baru sayangku....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...