JOM LAYAN IKLAN

Friday, March 2, 2007

Projek Hamper










Hari ini tercatat lagi sejarah buat warga SMK Taman SEA atas kejayaan melaksanakan Projek Hamper ke-14. Buat pertama kalinya juga aku berpeluang membawa anak-anakku melawat rumah kanak-kanak cacat di Taman Megah. Selalu aku lalu di hadapan rumah ini, namun tidak pernah pula aku berinisiatif untuk melawat mahupun menderma.

Tawaran spontan untuk melawat rumah ini berlaku apabila aku mendapat tahu bahawa Puan Gowry telah memaklumkan kepadaku bertapa bersemangat pula anak-anaknya merancang lawatan ke rumah golongan yang tidak bernasib baik sempena Projek Hamper. Setelah mendengar perancangan beliau, timbul pula di benak kepalaku akan anak-anakku yang hanya ada 16 orang ini. Anak-anak Puan Gowry ada 30 orang! Jika dia boleh buat, aku pasti boleh juga. Setelah mendapat ilham daripada beliau, tanpa berlengah lagi pantas aku memaklumkan hajatku kepada anak-anakku di 6A Teratai. Rata-ratanya menunjukkan riak kegembiraan. Aku nyatakan juga hajatku untuk melihat semuanya bekerjasama dalam menjayakan lawatan ini.
Aku juga memberi cadangan bahawa mereka boleh menggunakan peluang ini untuk bergambar bagi menghiasi ruang majalah sekolah nanti.

Hari yang dinantikan pun tiba. Tanggal 2 Mac 2007, setelah majlis rasmi projek ini dilaksanakan, maka kami pun dengan gembiranaya memuatkan kereta Abhishek dan Deepika dengan hamper dan juga beras. Puan Tan Sin Wah dengan murah hatinya telah membenarkan kami untuk membawa 2 bungkus beras dan 6 hamper. Walau pun hanya ada 9 sahaja anak-anakku yang hadir, aku masih berbangga akan kesungguhan mereka. (huhuhuh...anak-anak Pn Gowri 29 orang hadir. Yang tidak hadir pun disebabkan oleh kecederaan lutut yang tidak dapat dielakkan..) Namun aku tetap berharap agar kesemua mereka dapat menghadirkan diri. Bagiku inilah pendidikan yang mampu aku berikan kepada mereka di luar bilik darjah. Kesempatan pendidikan ini bukan sahaja diharapkan dapat memberikan mereka melihat dunia luar yang sebenar, namun juga peluang untukku bersama-sama dengan mereka untuk mengeratkan hubunganku sebagai guru tingkatan dengan mereka. Ingin sekali aku memutarkan jam ke hari semalam untuk memberi amaran akan kesan ketidakhadiran mereka agar semua dapat menghadirkan diri pada hari ini. Namun, apatah dayaku. Aku tidak boleh memaksa...Takpe lah.... mungkin mereka sakit, mungkin mereka ingin menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Takut pula untuk aku katakan di dalam hatiku bahawa mereka tidak hadir kerana aktiviti ini juga mungkin dipandang sebagai membuang masa. Isy...tak baik berkata begitu.... Kita mesti bersangka baik. Bukanlah Allah suka akan mereka yang berfikiran positif (bersangka baik)?


Sampai ke sana, semua anak-anakku tampak kekok sekali untuk menyesuaikan diri. Berbisik juga aku di dalam hatiku bahawa lawatan ini nampak gayanya hanya untuk beberapa ketika sahaja. Lepas hantar hamper nampaknya baliklah kita... Itu kata hatiku. Namun kugagahkan jua semangat untuk melambatkan masa pulang. Bilakah lagi anak-anak ini dapat melihat nasib mereka yang tidak senang? Mungkin anak-anakku terkejut melihat kedaifan hidup anak-anak di rumah ini daripada pelbagai sudut; fizikal dan juga kasih sayang. Sabarlah anak-anakku... Kanak-kanak malang ini sebenarnya tidak tahu akan kekurangan mereka. Mereka sebenarnya tidak sedar akan dugaan yang menimpa mereka. Sebetulnya, dugaan ini Tuhan turunkan sabagai dugaan untuk mereka yang lengkap tubuh badan dan mereka yang sihat. Siapa lagi jika bukan kita! Inilah dugaan untuk kita anak-anakku! Tuhan ingin melihat sejauh mana kita ini sabar dalam menempuh duganNya. Adakah kita ini mampu berkongsi kasih dengan mereka yang perlu? Adakah kita ini mempunyai sikap simpati, dan ikhlas untuk membantu? Adakah kita ini bermurah hati atau kedekut untuk menabur bakti? Adakah kita akan terus bersyukur akan nikmat yang diberikan kepada kita selama ini? Semuanya ini adalah untuk menguji keimanan kita, untuk kita bersyukur dan berserah kepada kekuasaanNya.


Setelah beberapa ketika, barulah anak-anakku menggagahi diri mereka untuk mendekati anak-anak malang ini. Tahniah, kerana kalian telah berjaya mengawal emosi dan melawan si pengecut di dalam hatimu itu! Wajah yang agak tegang kini menampakkan keceriaan walaupun terpaksa menyembunyikan perasaan sedih dan simpati. Gunakan masa ini anakku untuk berbakti!

Keadaan bertambah hangat apabila kami bertemu dengan seorang jejaka yang menggelarkan dirinya Hang Lekiu. Hang Lekiu menyapaku dengan panggilan Tuan Puteri. Kahkahkah..... tersipu-sipu aku dibuatnya. Tapi layan ajalah......Kelakarlah....
Berikut adalah dialog antaraku dan dia:
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
(banyak kali dia bertanya. Mungkin inilah penyakitnya. Pelupa!)
Tiba-tiba dia bersuara
Lekiu: Tak ada nama lain ke?!! (Dengan kuat)

Alamak..... malunya.... tak sedap ke nama nie!!!!
Hahahahah.....

Hari ini juga aku dapat melihat anak-anakku dari dekat. Tiiben dan Abhi ada bakat untuk menjadi 'bapa mithali.' Pandai mereka melayan anak-anak malang ini. Samantha pula mendapatkan kritikan hebat daripada teman-teman kerana tidak pandai mendukung anak kecil. Melorot budak malang itu didukungnya. "You must hold the base!" Itu kata-kata daripada Tiiben. Pecah berderai ketawa anak-anakku melihat teletah rakan-rakan sekelas mereka. Terhibur aku dibuatnya.

Di rumah ini, diam seorang anak Melayu yang digelar anak-anakku 'the math genius'! Anak istimewa ini hyperactive orangnya. Kelebihan tenaga yang ada padanya telah menjadi kekurangannya. Kesian dia. Apabila mengenalinya dengan lebih dekat, anak ini sememangnya hebat. Keceriaan yang ditunjukkan dalam dirinya sehebat warna jingga bajunya (Oren terang!) Dia pandai berbicara dalam bahasa Tamil. Aku yang bersuami India pun tak paham sepatah haram bahasa tersebut. Puas aku minta Sayangku untuk mengajarku, namun dia enggan. Melihat kanak-kanak ini, membuatkan diriku tercabar. Aku lengkap tubuh badan, tapi otak ni pula tak cepat untuk memahami bahasa lain. Isy...teruk betul aku ni ya!

Panjang jika nak teruskan bicara. Panjang benar rasanya untuk kutitipkan kenangan indah ini. Takpelah....semuanya ada di dalam lubuk kepala ini sebagai kenang-kenangan..... Apa yang penting, lawatan ini sungguh bermakna buat semua warga sekolah ini terutamanya anak-anakku ini. Banyak pengajaran dapat aku pelajari walaupun daripada anak-anakku mahupun daripada kanak-kanak malang itu. Jika ada insan yang dapat memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak ini, maka itulah sebenarnya kasih sayang sejati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...