JOM LAYAN IKLAN

Thursday, August 30, 2007

MALAYSIAKU GEMILANG - 5O TAHUN KEMERDEKAAN



MALAYASIKU GEMILANG.
Begitulah tema hari kemerdekaan Malaysia yang ke-50. Subhanallah dan Alhamdulillah, aku masih hidup di bumi ini untuk menyaksikan hari yang penuh gemilang ini.

Apakah makna merdeka untukku?
Merdeka? Kalau dulu, merdeka lebih sinonim dengan pembebasan sesorang atau negara daripada cengkaman pihak penjajah. Namun, sekarang Merdeka bagiku lebih kepada perjuangan untuk hidup bebas dalam keadaan yang aman dan harmoni. Sebagai seorang anak Malaysia pasca Merdeka, aku perlu mempertahankan negaraku daripada segala ancaman luar dan dalam yang menggugat keharmonian. Bagi diriku secara personal, aku ingin bebaskan mindaku daripada sikap-sikap negatif diriku sendiri seperli amalan bertangguh, malas, dan kelam kabut. Astaghfirullah, Ampunilah aku ya Allah. Sikap negatif ini sememangnya sentiasa membelenggu hidupku. Selain itu, aku ingin sekali dipandang sebagai seseorang insan yang berjiwa tinggi, berkredibiliti, berhemah tinggi, sabar, dan sentiasa berjuang untuk agama dan bangsa.

Mmmmmm....1/2 jam lagi menjelang merdeka.
YB Rais Yatim cimta lagu tema. Aku takkan tak buat apa-apa. Serangkap dua pun jadilah. Ikhlas daripadaku untuk tatapan anak bangsa.

Anak Merdeka

Esok 50 tahun Negeri Cinta merdeka
Aku di sini menyaksikan segala,
Saksi penuh bangga,
Melihat negeriku aman merdeka,
Hidup bahagia dengan semua warna,
Membentuk satu bangsa.

Hari ini,
Ketika menyanyikan lagu Negeri Cinta,
Mata menitiskan airnya,
Titisan bangga melihat semangat anak merdeka,
Berjiwa merdeka,
Berjiwa meriah.

Esok,
Harapanku bertambah menggunung,
Melihat semua terus memayung negeri tercinta,
Untuk tatapan dunia,
Untuk kebanggaan kita semua.

Dedikasi diriku hari ini,
Sememangnya bermakna untuk semua.
Semangatku sebagai anak merdeka...

Nukilan Salam Merdeka,
Hannirm Salleh
5 minit sebelum Sambutan Kemerdekaan ke-50,
30 Ogos 2007

Tuesday, August 21, 2007

Bermain Futsal kali pertama

Futsal? Cikgu main futsal? Mesti ramai yang tak percaya. Betul.... Cikgu main futsal.. Futsal merupakan satu permainan bola sam seperti bola padang. Cuma yang membezakan adalah jumlah pemainnya yang haya lima orang sahaja untuk setiap pasukan. Mmm... Cikgu memang kaki bangku. Tendang bola ikut nasib jugak. Selalunya tendang angin ajer.

Namun begitu, pada tanggal 20 Ogos 2007, 11 hari menjelang merdeka ke 50, Cikgu bermain futsal dengan pelajar form six. Ini semua gara-gara Yee Cheng yang terpaksa memasukkan Cikgu dalam pasukannya memandangkan hanya dia sahaja wakil kelas 6bS yang hadir untuk pertandingan tersebut. Dia kata, tendang ajer cikgu... Jadi... apabila bermain, cikgu pun tendang sahaja bola. Mula-mula main dengan pasukan bercampur (lelaki & perempuan bercampur dalam satu pasukan). Masa tu tak warm up lagi. Pelajar lelaki bermain ganas sekali. Ada satu insiden yang telah menyebabkan bola melayang terus ke perut... aduh!! Tolak 5 markah untuk PA atau tak layak menduduki kertas PA!! Untuk permainan yang kedua pula, permainan untuk pasukan perempuan. Mmm... yang ini paling menyeronokkan. Disebabkan oleh keputusan yang seri, maka terpaksalah diadakan tendangan penalti. Hahahahha Aku tendang, bole masuk. Kui3. Inilah kali pertama bermain bola. Inilah masanya para pelajarku pula yang mengajar. Seronok kejap.

Hari ini pula aku dah mula rasa sakit satu badan terutamanya bahagian otot peha. Nak naik tangga pun susah... Apabila dah sakit badan macam ni, aku pun nak jugak tahu serba sedikit tentang otot tubuh badan. Jika mengikut anotomi badan, bahagian otot peha aku yang sakit tu namanya, sartorius, rectus femoris dan adductor longus. Otot badan yang lain pula ialah external oblique.

Malumat tentang anotomi badan dan otot boleh dilayari di web ini http://www.gwc.maricopa.edu/class/bio201/muscle/leg1.htm

Terima kasih kepada semua pelajar tingkatan enam bawah kerana berjaya mengadakan aktiviti yang berfaedah ini. Tahniah kepada semua pemenang.

Thursday, August 16, 2007

Negarakuku - Penghinaan untuk Malaysia

Namewee - Seorang rapper rakyat Malaysia yang sedang menuntut di luar negara telah menggunakan lagu Negaraku iaitu lagu kebangsaan negara dengan rentak rap. Alasannya, lagu Negaraku membosankan dan dengan nada rap, lagu kebangsaan tersebut diharapkan dapat diberi nafas baru untuk generasi muda Malaysia.Memberi nafas baru kepada rentak lagu kebangsaan bukanlah perkara yang baru untuk kita. Sebelum ini pun kita telah pun menukarkan rentak lagu kebangsaan kepada rentak yang lebih bertenaga (tahun 2003 oleh Tun Mahathir) sebelum ditukarkan semula kepada rentak asal semula.

Namun, apa yang menyedihkan adalah penyanyi tersebut telah dengan terang-terangan menghina Malaysia dari pelbagai sudut, termasuklah penghinaan terhadap pemimpin, agama, bangsa dan negara. Sebagai seorang Islam, diri ini terasa amat sedih dengan kata-kata oleh anak kelahiran Muar ini. Jika si anak ini benar-benar dapat memahami maksud tersirat dalam azan subuh yang dilaungkan pada setiap pagi, tentu dirinya akan insaf. Wahai Namewee, ingatlah, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk menghina agama yang lain. Negarakuku - lagu kebangsaan gubahan anak muda Cina Malaysia yang sedang menuntut di negara Taiwan dengan secara waras telah menghina Malaysia dengan cara yang amat memalukan. Aku katakan dirinya waras kerana dia sendiri menyatakan bahawa lagunya mungkin setajam duri durian, mungkin busuk namun sedap dimakan.

Jika ikut definisi untuk perkataan 'kuku' bagi kaum India, 'kuku' bermaksud gila. Jadi, Negarakuku - Negara Gila, bukan begitu? Adakah ini merupakan hadiah seorang rakyat Malaysia sempena hari ulang tahun Malaysia yang ke-50. Sedih rasanya membaca lirik yang telah diterjemahkan. Perasaan malu tak usahlah cerita... Kalaulah ada lagi tulah raja, nahas dirinya. Agama Islam dan Melayu dihina. Pihak kerajaan telah turut diperlekehkan. Antara penghinaan yang dinyatakan adalah pegawai kerajaan yang pemalas, polis yang kuat makan rasuah, dan juga kaum Bumiputra yang lemah. Bait-bait lagu tersebut sudah pasti dapat mengundang kemarahan pelbagai pihak dan boleh menjejaskan kemakmuran dan kedamaian Malaysia.

Bagi kaum Bumiku,
Inilah pula kata-kataku. Rasa dalam hati ini memanglah marah dan tercabar. Namun pendekatan kita haruslah bijak. Janganlah kita tunjukkan kemarahan ini dalam bentuk yang negatif seperti menyimbahkan lagi minyak dalam keadaan yang boleh membuat mana-mana pihak yang membara terbakar pula. Buruk akibatnya nanti. Rosak pula perpaduan yang dibina. Kita juga akan rugi. Sebaliknya, kita doakan agar si anak tersebut memahami konsep agama Islam yang sebenarnya agar dia tidak berpeluang untuk menghina agama Islam malah menghormatinya sama seperti menghormati agama-agama lain di dunia. Tunjukkan bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul, yang suci dan benci akan penghinaan mahupun melakukan sesuatu yang keji seperti menghina agama lain. Jelaskan kepadanya tujuan azan dilaungkan dan buatlah dirinya faham akan bait-bait murni dan suci dalam azan tersebut. Biarlah dia sedar bahawa terdapat maksud di dalam azan subuh yang boleh diambl oleh kaum lain sebagai motivasi diri apabila memulakan hari.

Penghinaan terhadap kaum Malayu dan Islam secara total dapat dilihat dalam persembahan anak tersebut. Wahai bangsaku. Jangan cepat melenting. Kita boleh marah. Namun seperti yang aku katakan jangan simbah minyak. Nak marah kena ada caranya. Salurkan kemarahan semua kaum ini dengan cara yang lebih positif. Jadikan kata-kata anak tersebut sebagai teguran untuk pembangunan diri ini juga. Antara kata-kata lain oleh Namewee adalah masalah yang sering kita dengar di negara kita iaitu gejala rasuah dan sistem perkhidmatan awam yang lembab. Bangsaku, kalau kita marah, kita hanya membenarkan kata-kata anak ini. Tunjukkan kepada dirinya dan juga bangsa-bangsa lain di Malaysia malah di dunia bahawa kita ini TIDAK MENGAMBIL RASUAH,dan jika kita ialah seorang kakitangan awam, KITA ADALAH PENJAWAT AWAM YANG DEDIKASI DAN DISEGANI, dan yang paling baik adalah dengan menunjukkan bahawa ISLAM IALAH AGAMA YANG SYUMUL. Jika kita sendiri yang leka terhadap agama kita dan tidak menegakkan syiar Islam, siapakah yang akan menghormati agama kita. Jelas menunjukkan bahawa, untuk orang lain menghormati agama kita, kita dulu perlu melakukannya - hormat agama sendiri, pertahankan Rukun Iman dan Islam kita.

Bagi kaum yang lain,
Di sini, ingin aku rakamkan rasa hormatku terhadap pengorbanan yang kalian lakukan untuk negara kita yang tercinta ini seiring dengan pengorbanan oleh kaum Melayu sendiri. Pemahaman dalam menghayati perjuangan KONTRAK SOSIAL oleh kalian amat aku kagumi. Perjuangan kalian dalam pengembangan ekonomi Malaysia amat aku banggakan. Ketekunan bangsamu untuk berjaya seharusnya menjadi contoh tauladan bagi bangsa Melayu.

Dan untuk semua,
Kita semua ada kelebihan kita yang tersendiri menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Kaum Cina terkenal dengan sifat keusahawanan mereka, Melayu pula akan mempertahankan negara dari serangan musuh dan tidak akan pula gentar darah tumpah dan nyawa hilang dalam medan peperangan dalam perjuangan mempertahankan Malaysia. Kaum India juga dengan perjuangan mereka yang tersendiri. Kita ini anak Malaysia, Bentuk perjuangan kita mungkin berbeza, tetapi semuanya kita lakukan dengan satu hati untuk Malaysia.

DAN,
Belek-beleklah diri kita. Janganlah kita semua mudah lupa. Kupaslah kata-kata anak ini untuk pedoman kita semua. Marah memang kita marah, namun fikirkanlah kemarahan kita dan layanlah kemarahan kita dengan cara yang lebih berhemah. Cara yang menguntungkan kita semua. Pokok pangkalnya, kita harus FIKIRRRRRRRRRRR........... KEMERDEKAAN MALAYSIA, HARUS KITA PERTAHANKAN.

Tuesday, July 31, 2007

Terima kasih anak didikku






Seminggu lagi genaplah 7 tahun aku berkecimpung dalam profession perguruan. Masih banyak lagi yang perlu aku lakukan dan belajar. Sepanjang tempoh tersebut juga, pelbagai onak-onak kehidupan telah kulalui.

Para pelajar adalah insan yang sering berada di sinilu sepanjang kehidupan aku sebagai guru. Itu sudah pasti. Ada sahaja yang datang melawat bersama oleh-oleh lagi dan yang paling menyeronokkan mereka datang dengan khabar gembira. Kumpulan pertama pelajar yang aku ajar adalah kumpulan Azhar, Kelas 2 Angsana tahun 2000. Sampai hari ini aku masih baik dengan mereka. Mereka sentiasa di sisiku. Aku amat gembira menerima kehadiran mereka dalam hidupku. Kumpulan ini aku namakan sebagai the brudus. Comel panggilannya kerana mereka sentiasa sekumpulan. Itulah Azhar, Anis, Adlie, Juliana dan Syafiq Raduan. Hahaha...penghibur hatiku yang lara! Tahun 2001 pula aku menjadi guru tingkatan kepada kelas 2 Angsana pula, kumpulan Syafiq. Antara rakan-rakannya yang lain adalah Ismail, Anas, Fatimah dan Nazirah. Tahun 2002, tibalah gilirannya aku mengajar kelas yang agak meriah untuk malas belajar. Itulah kelas 1 Ixora. Suka main. Jenuh aku melayan setiap pertanyaan ibu bapa mengenai sikap mereka terhadap pembelajaran. Antara mereka yang masih rapat dengan aku adalah Azzran, Sin Mun yang tidak jemu menegurku, dan Jerome yang sopan dan murah dengan senyuman. Si Kembar Lee yang akan 'excited' apabila aku memanggil nama mere, "Hei, teacher stills remembers our names!" Tahun 2003 aku tidak menjadi guru tingkatan memandangkan aku telah banyak jawatan yang membebankan. Tahun 2005 aku telah berpindah ke sesi pagi dan kali ini aku bertemu pula dengan bekas tingkatan 2A aku. Walaupun ahlinya agak berbeza, Syafiq, Fatimah, Ismail, Anas, Marrianne, Congning, Abhishek adalah antara pelajar-pelajarku. Mereka kini agak nakal. Remajalah katakan... Aktif kalau cara pembelajaran aku menyenangkan dan amat pasif apabila aku mulakan pembelajaran yang serius. Aku masih ingat lagi akan kata-kata pelajarku Marrieanne yang akan sentiasa cuba meminta restuku untuk apa-apa peperiksaan yang dia duduki. Katanya, "Cikgu, restui saya for I'm going to sit for my exzam. Halalkan semuanya cikgu." Walaupun sudah tiada lagi di sini, namun dirinya tidak pernah lupa untuk sms diriku untuk bertanya khabar. Kini, aku menjadi Cikgu untuk tingkatan 6 Teratai selama 2 tahun berturut-turut. Abhishek dan deepika, Yuenyim dan Lee yean dari 5 Jasmin pun ada. Aku telah melihat sendiri perubahan anak-anak ini daripada mereka kecil lagi. Abhi telah membesar menjadi seorang jejaka yang tampan. Kesopanannya masih lagi dijaga. Kali ini dirinya ditemani kakaknya yang sentiasa membulinya...Hahhaahah...Kali ini Abhi dah pandai bergurau. Biasanya dia hanya akan diam sahaja di dalam kelas. Kali ini suara nakalnya boleh didengari pada bila-bila masa. Kali ini aku mempunyai jumlah pelajar yang sedikit. Hanya 16 orang sahaja. Namun begitu, karenah mereka tidak ubah seperti melayani 40 orang. Ini termasuklah Tiiben, Wen Tye, Chai Ni, Callie, Mun yee, Ashleigh, Thurga, Sasee, Kar Mun, Lili, Samantha, dan Yng Jye. Kelas kami istimewa. Berhawa dingin lagi tapi...punyalah kotor. Mereka gemar akan mengitar semula barang-barang terbuang. Semuanya dikumpulkan di dalam kelas tersebut; tin, kertas, plastik. Semua guru yang mengajar kelas itu akan membuat bising. Aku tegur mereka juga namun taklah garang sangat. Mereka dah pun berjanji akan menjual semua barang tersebut selepas Hari Kantin sekolah. Respon aku, "Mmmm...good strategy..."

Sebenarnya, hari ini aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelajar-pelajarku kerana merekalah sebenarnya inspirasiku untuk maju kehadapan lagi. Merekalah penggalak aku untuk terus belajar. Mereka sentiasa memberikan aku dorongan dan galakkan. Aku masih ingat lagi Tiiben yang ditemuramah oleh pegawai JPN yang datang untuk memantau aku. Wen Tye banyak membantu. Pendek kata aku amat senang dengan mereka. Pada hari Ekspo UM mereka datang juga untuk membantu. Terima kasih juga diucapkan kepada Alif, aiman dan Aliana yang turut sama membantu. Atas dorongan mereka, aku berjaya memperoleh pingat gangsa untuk ekspo tersebut. Alhamdulillah...

Tahun ini, dengan izin Allah, aku ditemukan dengan seorang pelajar lelaki yang meminati profesion ini. Aku turut mengkagumi inspirasinya untuk menjadi seorang guru. Meeze namanya. Seorang pelajar aktif yang berhemah. Dia telah mengharumkan nama sekolah dalam penyertaan pertandingan pidato baru-baru ini. Pertandingan debat pada hari ini terpaksa pula dirinya menarik diri kerana menerima tawaran untuk belajar di maktab perguruan Ilmu Khas di ibu kota. Aku akan merinduinya... Tetapi tak mengapa.... Yee Cheng, Shaiful, Liling, Steph, Zhou Li, Cong Sheng, dan lain-lain kan ada... ramai lagi yang sanggup menemani diri ini juga.... Tidak ketinggalan pelajar 4BR ku.... (Nakal juga mereka ini).

Apa=apa pun yang ingin kukatakan, aku tidak dapat menyatakan perasaan aku pada hari ini. Yang mampu aku katakan adalah, semua pelajarku sebenarnya turut berbudi kepadaku...

Salam Sayang
Cikgu

Monday, July 23, 2007

PELUANG KEDUA


Brudus = My Beloved Students

Hari ini aku dimaklumkan oleh salah seorang pelajar aku akan erti peluang kedua. Sungguh terharu diriku mendengar cerita sedihnya sebelum berjumpa pelangi sebelum waktu senja. Kebetulan pula aku terbaca akan satu blog juga berkaitan peluang kedua. Perbezaan antara kedua-duanya adalah seorang sempat jumpa pelangi manakala seorang lagi telah pun lewat meniti usia.

Persoalannya kini adalah diriku yang sebenarnya. Adakah aku bakal diberi peluang kedua? Adakah peluang kedua itu lebih manis daripada peluang yang pertama? Adakah aku nampak dengan jelas akan peluang tersebut? Atau adakah aku sendiri yang harus memberikan diriku sendiri peluang kedua?

Mmmm susah juga sebenarnya nak menjawab semua persoalan aku sendiri! Namun ingin aku katakan di sini bahawa aku sememangnya memerlukan peluang kedua! Peluang untuk apa ya? Hanya aku sahaja yang tahu. Apa-apa pun peluang yang bakal kuterima di hadapan mataku tak akan aku sia-siakan. Aku tidak mahu meminta peluang itu nanti ketika berada di atas katil kematian. Itu sudah terlambat!!

Ada sesiapa yang ingin memberikan contoh untuk diberi peluang kedua?

Thursday, June 28, 2007

MALAYSIA 50 TAHUN

Sudah 50 tahun berlalu sejak laungan bermakna daripada PM Allahyarham Tuanku Abdul Rahman.Namun ramai lagi yang belum merdeka. Sedeh....

Saturday, June 16, 2007

CATATAN HARI GURU 2007

Hari Guru Tahun 2007 tahun ini amat unik. Bukanlah aku menerima sebarang hadiah seperti dalam cerita komsas Hadiah Hari Guru tetapi kali ini pelajar-pelajar tingkatan 6 telah menyanyikan lagu ciptaan mereka sendiri. Siap ada video latar lagi! Amat melucukan dan mengharukan. Itulah hadiah yang paling istimewa untukku pada tahun ini yang dikongsi bersama dengan semua warga SMKTS.

Tema Hari Guru tahun ini adalah GURU PENJANA MODAL INSAN GEMILANG. Hmmm... satu tanggungjawab yang amat besar. Tentu ada banyak rasional yang difikirkan sehingga terhasillah tema yang penuh erti ini. Aku pasti salah satu daripadanya adalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja yang semakin menjadi-jadi. Tambahan lagi, ramai juga ibu bapa yang tidak peka terhadap perkembangan diri anak-anak mereka sehingga ramai juga yang terlibat dalam anasir-anasir yang tidak baik. Ada ibu bapa yang ingin mendidik, tetapi disebabkan oleh pengaruh negatif pelbagai pihak luar telah menyebabkan si anak langsung tidak mahu mendengar nasihat ibu bapa. Maka ramailah antara para remaja dan belia kita yang boleh dikategorikan sebagai Si Tanggang atau Si Malim Kundang. Jika masalah ini tidak diatasi maka gagallah hasrat kerajaan untuk menhasilkan Malaysia sebagai negara maju pada tahun wawasan kita iaitu Tahun 2020.

Sebagai seorang yang diamanahkan untuk menjana masyarakat gemilang, mana-mana Cikgu di Malaysia pun harus gemilang. Kenaikan gaji kakitangan kerajaan baru-baru ini telah memberikan semangat baru kepada para guru untuk berkhidmat. Memang sukar bagi guru-guru yang berkeluarga terutamanya untuk hidup di bandar dengan gaji hanya RM2K. Jika suami isteri pun guru, dia juga mungkin bergaji RM2K. Jumlah kesemuanya RM4K. Sewa rumah di Petaling Jaya RM700. Jika ada anak, anak perlu dihantar ke rumah pengasuh. Seorang anak RM250. Kalau ada lebih daripada itu, jumlahnya juga akan berganda. Ibu bapa juga perlu dihantar sedikit wang. Anak yang baik harus mengenang jasa ibu bapa. Jika tinggal di kampung pula, lain juga ceritanya. Bolehlah hidup agak mewah sikit. Inilah yang dikatakan sebagai kemiskinan relatif. Disebabkan oleh itu, tidak mustahillah jika dikatakan ramai orang kini tidak meminati profesyen ini. Profesyen in hanya diambil disebabkan oleh kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang lain. Namun ramai juga yang memandang profesyen ini sebagai satu pekerjaan yang mulia. Pekerjaan ini dilihat bukan sahaja sebagai aset di dunia malah juga sabagai aset di akhirat. Ganjarannya besar juga di sisi agama.

Bagi diriku, aku suka akan pekerjaan ni. Seronok rasanyanya dikelilingi para pelajar yang comel-comel. Tak comel pun aku akan sayang. Yang nakal ditegur, yang rajin dipuji. Yang nakal pun kalau buat baik turut akan dipuji, malah dipuji lebih tinggi lagi. Itulah suntikan semangat yang dapatku berikan kepada semua anak didikku. Kerja guru zaman ini memang banyak. Gosip-gosip di bilik guru juga hebat. Tapi apa yang penting aku mesti jadi guru hebat. Guru hebat bukannya yang dapat hadiah macam-macam pada Hari Guru, tetapi aku ingin melihat satu hari nanti, ada yang datang padaku dan berkata, terima kasih Cikgu.

Friday, June 8, 2007

Aktiviti Cuti Sekolah



Cuti datang lagi. Pada saat aku sedang menulis ini, cuti dah pun nak habis. Namun, saat-saat percutian aku kali ini sungguh menyeronokkan. Walaupun tidak berpeluang pulang ke JB namun aku dapat juga berjumpa abah dan emak, tok dan mak long. Segamat, Muar, Keramat, hospital, gua, hutan, air terjun, semuanya aku pergi.

Hari ini aku ingin nak bercerita tentang pengalaman bertrek besama-sama adikku Nor dan juga bekas pelajar-pelajarku ayng sememangnya rapat denganku; Azhar dengan Anisnya, Anis bakal Doc, Adlie, Julie, dan Syafiq, serta tak terlupa juga Nor. Seawal 9 pagi 7/6/07 hari Khamis kami bertemu. Aku telah menjemput Anis dan Adlie manakala Azhar menunggu di Shell Jalan Gasing. Syafiq dan Julie akan tiba ke Restoran Raju di Bukit Gasing. Apabila semua telah tiba, kami pun apa lagi, melantaklah roti canai terkenal di sana. Takper... Cikgu belanjer... Suka ajer semua.

Kami pun mulalah masuk ke dalam hutan Gasing pada pukul 9.50 am. Semua bersemangat. Mula-mula kami cuma turun bukit ajer tetapi apabila naik bukit, Anis dah mula membebel. Hahahah.... member sudah tidak larat nak mendaki bukit sebenarnya! Bising mulutnya memarahi sesiapa sahaja. namun kami semua memberikannya semangat! Kelakar juga saat-saat itu. Aku tahu.. Anis ni tidak kenal erti kalah... Sakit kepala lutut bukit tetap didaki. kami sempat merakamkan saat-saat mendaki bukit, main air, meniti jambatan gantung,dan juga berehat di dalam hutan gasing. Paling seronok adalah masa yang dapat kami luangkan untuk bersembang!! Susah nak ada masa seperti ini. Kami habis menjelajah hutan ketika waktu tengahari. Sempat lepak lagi di pintu masuk hutan untuk bersembang. Selepas itu, kami pun makan di Restoran Jaring di Mentari Park. Saja ajer bawa mereka ke sana kerana aku perlu mengambil barang dari pejabat Sayang. Selepas makan semua lepak di rumahku. Seronok! Semua yang busuk pergi mandi tapi Julie ajer yang tidak. Dia leih rela busuk daripada tidak mandi di bukan bilik airnya!! :))

Entah bila lagi ada saat manis seperti ini...

Saturday, June 2, 2007

Ekspedisi Gua Gelap








Gua Gelap!!! Kat mana tuh? Kata mana lagi!!! Kat Batu Cave la...
Ada orang ingat, Batu Cave hanya tempat orang Hindu berhala. Tak jugak.... Boleh buat ekspedisi tau!!

Tidak melepaskan peluang ini, aku bawalah sekali adik bongsuku, Adibah. Saja ajer nak lihat dia berseronok ketika cuti ni.. Nak pergi sendiri jangan haraplah... mana ada masa..

Lawatan Persatuan Taekwando dan Lembaga pusat Sumber telah bergabung tenaga untuk menjayakan lawatan ini. Ahli pusat sumber ramai pula yang tidak datang. Marah pulak rasanya. Kesian Kathleen kena kutip semua duit dan dahulukan duit dia sendiri untuk menjayakan lawatan ini. Tempahan awal semuanya telah dibuat dan dibayar. Aku telah mengarahkannya untuk mengutip wang walaupun daripada mereka yang tidak datang tetapi telah memberikan nama. Guru pengiring lawatan ini tak lain dan tak bukan diriku sendiri, Puan Zurina dan Puan Ernice. Puan Liza tak dapat datang kerana sakit perut....

Tempat pertama lawatan adalah ke FRIM di Kepong. Sekejap sahaja di sana. Masuk hutan ni tak lah menarik sangat. Aku ingat ada jugak pacat yang menyinggah tapi seekor pun tak ada. Dah pupus dah agaknya. Sekarang ni barulah aku tahu di FRIM ada air terjun. Nyaman gitu! Diba sampai nak mandi!!! Dia tak nak kluar dari air!!!!

Selepas berada di FRIM kami makan tengah hari di restoran dalam FRIM sendiri. Mahal rasanya pakej makanan tersebut. RM4 seorang! Makan nasi goreng, mee hoon goreng dan karipap aja! Cikgu makan bayar sendiri. Kak Zurina telah bermurah hati untuk belanja makan. Thanks Kak Zu...

Dah kenyang... kami pun berangkatlah ke BVatu Caves.....

mmm..... tak tau dah nak kata camner...
seronok giler...
kita jalan...
baring....
meniarap...
merangkak...
cium tanah...
melompat...
memanjat...
mengharung...
semuanya kami buat!

Tapi mmg best!

Monday, May 14, 2007

IDAH SAKIT

Dah lama rasanya tidak pos apa-apa di blog ini. Inilah fungsi blog. Jika nak meluahkan perasaan, di sinilah tempatnya. Kini sedih di hati memuncak. Pelbagai peristiwa telah berlaku dalam hidup ini dalam masa beberapa bulan ini. Yang yang suka dan ada yang duka. Namun, peratusan yang duka itu lebih hebat daripada yang suka.

Adikku sayang yang nombor tiga itu Ida namanya. Seorang yang baik dan tegas juga. Seorang yang sering mencari cinta dan cita-cita. Baru-baru ini dia ditawarkan untuk bekerja di sebuah syarikat gergasi Malaysia. Lebih membanggakan dia bakal menjadi antara kumpulan pertama yang bakal menjayakan biodiesel Malaysia di bawah Sime Darby, Golden Hope dan Guthrie Plantations. Antara persediaan yang perlu dilakukan adalah menjalani pemeriksaan kesihatan. Dari situlah adikku menyedari bahawa dirinya mengalami penyakit kanser lyphforma.

Sakit mata memandang, sakit lagi bahu memikul. Esok merupakan rawatan kimoterapi yang kedua. Belum yang kedua pun rambut adikku sudah tiada. Sedih sahaja bunyinya setiap kali aku menghubuni Johor. Tak per lah.... rambut akan tumbuh juga. Kata sayangku nanti apabila balik Johor bolehlah semua adik beradik dan ipar duai buat fesyen rambut baru. T-sya dan Aliff pun kena korbankan rambut mereka. Semuanya akan balik dengan fesyen GI..... Bayangkanlah....Cikgu seorang ni berkepala botak!!!!

Apa-apa pun adikku sayang, akak doakan agar Idah sihat... kami semua ada dibelakangmu... Tabahkan hati, tetapkan iman. Jangan putus berdoa. Sesungguhnya ini adalah dugaan daripada Tuhan. Dia ingin menduga hambanya.

Saturday, March 3, 2007

Pengalaman Chat - 3 Mac 2007

Hari ini aku jelmakan diri di YM. Saja aje aku berbuat demikian untuk melihat insan yang bertegur sapa. Aku tidak pun menegur sesiapa memandangkan aku agak sibut menyiapkan kertas kerja. Apa-apa pun seorang insan yang kukenal melalui Portal Komuniti Friendster aknirnya menyapa. Dia adalah seorang lelaki India warga negara Canada, berumur 56 tahun dan sudah pun berkahwin dan punya seorang anak gadis sebayaku. Mmm... semasa berkenalan dia hanya menyatakan bahawa dia ingin menemuiku atas dasar ingin menjalin persahabatan. Padaku apalah salahnya untuk berkawan. Tak salah pun asalkan aku tidak melanggar norma sosial dan kehendak agama. Rupa-rupanya dia ingin berjumpaku untuk melampiaskan nafsunya ketika berada di Malaysia. Aku tahu akan niatnya apabila aku memintanya untuk menyatakan tujuannya mencari sahabat di Malaysia. Katanya untuk hubungan kasih sayang. Mmm... apabila itu jawapannya aku katakan kepada diriku bahawa inilah masanya untuk aku tunjukkan kepada mata dunia bahawa orang Malaysia tidak akan mudah jatuh kepada pujukan nafsu orang lain. Rakyat Malaysia masih teguh kepada norma sosial yang positif. Rakyat Malaysia bencikan hubungan seks rambang yang membawa kepada AIDS. Rakyat Malaysia jujur dalam perhubungan untuk mengeratkan persahabatan seantero dunia berlandaskan nilai-nilai yang murni. Yang penting buat diriku adalah untuk menghindarkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak baik di sisi agama dan tanggungjawabku sebagai seorang isteri kepada suami yang kucinta, sorang anak kepda ibu bapa yang tidak jemu menerapkan nilai murni walaupun anak-anak telah berkahwin, dan diriku sebagai seorang guru yang perlu memaparkan nilai yang murni dan mencegah anak-anak didik daripada melakukan perkara yang tidak diingini. Inilah yang perlu aku tunjukkan kepada sesiapa sahaja tak kira di mana jua.

Dia ingat aku ini siapa? Jual diri dan maruah bangsa ke?
Kesan jika aku mengikut kehendaknya:

  1. Mencemarkan diriku Sudah pasti suamiku akan mengatakan bahawa aku ini isteri jalang. Isteri yang tidak tahu menjaga maruah diri. Aku juga akan menerima tomohan daripada masyarakat selain daripada penyisihan daripada keluarga. Aku ini Cikgu bahasa yang perlu mengajar pelbagai ilmu merentas kurikulum dan juga Cikgu Pendidikan Moral. Kalau cakap aje dalam kelas tetapi perangai serupa tak bikin tak guna juga!!
  2. Mencemarkan nama Malaysia Dia adalah warga Kanada. Aku adalah warga Malaysia. Jika aku melakukan perkara yang tidak baik sudah tentu dia akan menjaja nama rakyat Malaysia yang amat peramah sehingga sanggup menggadaikan maruah diri. Kawan-kawannya yang lain pula akan turut melakukan perkara yang sama.
  3. Aku dapat AIDS Nak ke dapat AIDS? Orang seperti ini sudah tentu amat biasa dengan pergaulan bebas. Ke mana-mana saha dia pergi sama ada atas tujuan perniagaan atau pelancongan akan melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Lagi pun dia telah berumur. 56 pula tuh!! Aktiviti seks bebas ini tentu telah sebati dalam dirinya sejak... mungkin sejak dia mengenal erti akil baligh! Tak mustahil jika dia sudah pun ada penyakit itu dan juga penyakit lain. Apabila aku dapat AIDS nanti secara tidak sedar aku turut menyebabkan suamiku juga merana.
  4. AKU MASUK NERAKA!!!! Aku sebagai seorang insan dewasa dan tahu akan hukum hakam sesuatu tindakan yang aku lakukan. Ada halal dan haramnya... Kalau dah tau salah tetapi buat juga tanpa rasa bersalah atas tindakan yang bodoh... tentu lah aku menyerahkan diri ke alam neraka. Nauzubillah....
Tak kisahlah jika aku kehilangan seorang rakan chat hari ini. Dia telah memberitahu bahawa dia akan buang namaku dari senarai chat friendsnya. Tapi...aku bangga dengan diriku hari ini... aku telah membuat keputusan yang baik dan menunjukkan bahawa ini warga Malaysia yang perlu dibentuk.

Terfikir pula aku akan anak-anak didikku mahupun adik-adik aku sendiri. Apakah tindakan yang akan mereka ambil? Adakah mereka akan menuruti kehendak lelaki asing ini? Adakah mereka sanggup menggadaikan maruah diri untuk memewahkan diri yang hanya untuk seketika? Takut aku jika wang dapat menggelapkan mata dan minda... huhuhu...takutnya... Doaku bahawa adik-adikku dan anak didikku anak berfikiran positif dan tidak lupa akan ajaran agama dan juga nasihat ibu bapa sebelum melakukan perkara yang bodoh. Semalam aku hadiri ceramah motivasi di sekolah yang dikendalikan oleh seorang ustaz. Katanya, "Para pelajar kita semuanya pandai, tetapi malangnya mereka gemar melakukan perkara yang bodoh..... Sebab itu mereka nampak bodoh." Walau pun kata-katanya dan gambar kartun yang ditunjukkan adalah lucu, namun ada betulnya. 100% betul ustaz!

Berikut adalah sebagian daripada perbualan kami.

teacherhoneym: i c...
teacherhoneym: tht's y i asked
teacherhoneym: u may be a christian but yr name is d----..
teacherhoneym: same here.....in Malaysia
*l2001: that not my real name
teacherhoneym: i c...
*l2001: real name doesnt matter
teacherhoneym: whts yr rel name?
teacherhoneym: i'd like to call u by yr real nema, may i?
*l2001: n
*l2001: no
teacherhoneym: uo to u
teacherhoneym: up to u
*l2001: dont know if we will be chatting anymore
teacherhoneym: will not force u, d----...
teacherhoneym: ok then
teacherhoneym: no offence here
teacherhoneym: thanks for willing to say hi
*l2001: as i said, i am looking for a lady i can meet
*l2001: no problem
*l2001: u have a nice day
teacherhoneym: same to u...
teacherhoneym: sorry for can;t meet u personally...
*l2001: np
*l2001: no big deal
teacherhoneym: it's ok...
*l2001: not the end of worls for any of us
teacherhoneym: for our own good too.....
teacherhoneym: yep...
teacherhoneym: do come with yr family n we can join n njoy
teacherhoneym: bye for now....
*l2001: bye
teacherhoneym: ;)
*l2001: stop that
teacherhoneym: :-h
teacherhoneym: sorry...wrong icon
teacherhoneym: :))
*l2001: i removed you from my yahoo. sorry
teacherhoneym: ok...
teacherhoneym: no offence...
*l2001: none taken
teacherhoneym: i belief in my religion not to commit adultry
teacherhoneym: sorry
*l2001: hope all in your religion do what u believe in
teacherhoneym: say no to aids...but say yes to pure friendship to unite the world...
*l2001: unite the world under one religion?
teacherhoneym: i did not say under 1 religion
l2001: not all believe in that
*l2001: thanks
teacherhoneym: i told it was for freindship... n i belief in my religion
*l2001: bye
teacherhoneym: bye



*Nama chat friend tersebut telah diubah.

Oleh itu anak-anak sekalian, kita seringkali menyatakan bahawa faktor remaja itu terjerumus dalam gejala sosial yang tidak sihat disebabkan oleh pendidikan dan salah satu daripadanya adalah didikan agama. Ini jelas menunjukkan bahawa agama memainkan peranan yang penting dalam mendidik jiwa seseorang.

Semoga kita menjadi warga Malaysia yang berjaya.

Friday, March 2, 2007

Projek Hamper










Hari ini tercatat lagi sejarah buat warga SMK Taman SEA atas kejayaan melaksanakan Projek Hamper ke-14. Buat pertama kalinya juga aku berpeluang membawa anak-anakku melawat rumah kanak-kanak cacat di Taman Megah. Selalu aku lalu di hadapan rumah ini, namun tidak pernah pula aku berinisiatif untuk melawat mahupun menderma.

Tawaran spontan untuk melawat rumah ini berlaku apabila aku mendapat tahu bahawa Puan Gowry telah memaklumkan kepadaku bertapa bersemangat pula anak-anaknya merancang lawatan ke rumah golongan yang tidak bernasib baik sempena Projek Hamper. Setelah mendengar perancangan beliau, timbul pula di benak kepalaku akan anak-anakku yang hanya ada 16 orang ini. Anak-anak Puan Gowry ada 30 orang! Jika dia boleh buat, aku pasti boleh juga. Setelah mendapat ilham daripada beliau, tanpa berlengah lagi pantas aku memaklumkan hajatku kepada anak-anakku di 6A Teratai. Rata-ratanya menunjukkan riak kegembiraan. Aku nyatakan juga hajatku untuk melihat semuanya bekerjasama dalam menjayakan lawatan ini.
Aku juga memberi cadangan bahawa mereka boleh menggunakan peluang ini untuk bergambar bagi menghiasi ruang majalah sekolah nanti.

Hari yang dinantikan pun tiba. Tanggal 2 Mac 2007, setelah majlis rasmi projek ini dilaksanakan, maka kami pun dengan gembiranaya memuatkan kereta Abhishek dan Deepika dengan hamper dan juga beras. Puan Tan Sin Wah dengan murah hatinya telah membenarkan kami untuk membawa 2 bungkus beras dan 6 hamper. Walau pun hanya ada 9 sahaja anak-anakku yang hadir, aku masih berbangga akan kesungguhan mereka. (huhuhuh...anak-anak Pn Gowri 29 orang hadir. Yang tidak hadir pun disebabkan oleh kecederaan lutut yang tidak dapat dielakkan..) Namun aku tetap berharap agar kesemua mereka dapat menghadirkan diri. Bagiku inilah pendidikan yang mampu aku berikan kepada mereka di luar bilik darjah. Kesempatan pendidikan ini bukan sahaja diharapkan dapat memberikan mereka melihat dunia luar yang sebenar, namun juga peluang untukku bersama-sama dengan mereka untuk mengeratkan hubunganku sebagai guru tingkatan dengan mereka. Ingin sekali aku memutarkan jam ke hari semalam untuk memberi amaran akan kesan ketidakhadiran mereka agar semua dapat menghadirkan diri pada hari ini. Namun, apatah dayaku. Aku tidak boleh memaksa...Takpe lah.... mungkin mereka sakit, mungkin mereka ingin menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Takut pula untuk aku katakan di dalam hatiku bahawa mereka tidak hadir kerana aktiviti ini juga mungkin dipandang sebagai membuang masa. Isy...tak baik berkata begitu.... Kita mesti bersangka baik. Bukanlah Allah suka akan mereka yang berfikiran positif (bersangka baik)?


Sampai ke sana, semua anak-anakku tampak kekok sekali untuk menyesuaikan diri. Berbisik juga aku di dalam hatiku bahawa lawatan ini nampak gayanya hanya untuk beberapa ketika sahaja. Lepas hantar hamper nampaknya baliklah kita... Itu kata hatiku. Namun kugagahkan jua semangat untuk melambatkan masa pulang. Bilakah lagi anak-anak ini dapat melihat nasib mereka yang tidak senang? Mungkin anak-anakku terkejut melihat kedaifan hidup anak-anak di rumah ini daripada pelbagai sudut; fizikal dan juga kasih sayang. Sabarlah anak-anakku... Kanak-kanak malang ini sebenarnya tidak tahu akan kekurangan mereka. Mereka sebenarnya tidak sedar akan dugaan yang menimpa mereka. Sebetulnya, dugaan ini Tuhan turunkan sabagai dugaan untuk mereka yang lengkap tubuh badan dan mereka yang sihat. Siapa lagi jika bukan kita! Inilah dugaan untuk kita anak-anakku! Tuhan ingin melihat sejauh mana kita ini sabar dalam menempuh duganNya. Adakah kita ini mampu berkongsi kasih dengan mereka yang perlu? Adakah kita ini mempunyai sikap simpati, dan ikhlas untuk membantu? Adakah kita ini bermurah hati atau kedekut untuk menabur bakti? Adakah kita akan terus bersyukur akan nikmat yang diberikan kepada kita selama ini? Semuanya ini adalah untuk menguji keimanan kita, untuk kita bersyukur dan berserah kepada kekuasaanNya.


Setelah beberapa ketika, barulah anak-anakku menggagahi diri mereka untuk mendekati anak-anak malang ini. Tahniah, kerana kalian telah berjaya mengawal emosi dan melawan si pengecut di dalam hatimu itu! Wajah yang agak tegang kini menampakkan keceriaan walaupun terpaksa menyembunyikan perasaan sedih dan simpati. Gunakan masa ini anakku untuk berbakti!

Keadaan bertambah hangat apabila kami bertemu dengan seorang jejaka yang menggelarkan dirinya Hang Lekiu. Hang Lekiu menyapaku dengan panggilan Tuan Puteri. Kahkahkah..... tersipu-sipu aku dibuatnya. Tapi layan ajalah......Kelakarlah....
Berikut adalah dialog antaraku dan dia:
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
Lekiu: Siapakah nama Tuan Puteri?
Aku : Hanim
(banyak kali dia bertanya. Mungkin inilah penyakitnya. Pelupa!)
Tiba-tiba dia bersuara
Lekiu: Tak ada nama lain ke?!! (Dengan kuat)

Alamak..... malunya.... tak sedap ke nama nie!!!!
Hahahahah.....

Hari ini juga aku dapat melihat anak-anakku dari dekat. Tiiben dan Abhi ada bakat untuk menjadi 'bapa mithali.' Pandai mereka melayan anak-anak malang ini. Samantha pula mendapatkan kritikan hebat daripada teman-teman kerana tidak pandai mendukung anak kecil. Melorot budak malang itu didukungnya. "You must hold the base!" Itu kata-kata daripada Tiiben. Pecah berderai ketawa anak-anakku melihat teletah rakan-rakan sekelas mereka. Terhibur aku dibuatnya.

Di rumah ini, diam seorang anak Melayu yang digelar anak-anakku 'the math genius'! Anak istimewa ini hyperactive orangnya. Kelebihan tenaga yang ada padanya telah menjadi kekurangannya. Kesian dia. Apabila mengenalinya dengan lebih dekat, anak ini sememangnya hebat. Keceriaan yang ditunjukkan dalam dirinya sehebat warna jingga bajunya (Oren terang!) Dia pandai berbicara dalam bahasa Tamil. Aku yang bersuami India pun tak paham sepatah haram bahasa tersebut. Puas aku minta Sayangku untuk mengajarku, namun dia enggan. Melihat kanak-kanak ini, membuatkan diriku tercabar. Aku lengkap tubuh badan, tapi otak ni pula tak cepat untuk memahami bahasa lain. Isy...teruk betul aku ni ya!

Panjang jika nak teruskan bicara. Panjang benar rasanya untuk kutitipkan kenangan indah ini. Takpelah....semuanya ada di dalam lubuk kepala ini sebagai kenang-kenangan..... Apa yang penting, lawatan ini sungguh bermakna buat semua warga sekolah ini terutamanya anak-anakku ini. Banyak pengajaran dapat aku pelajari walaupun daripada anak-anakku mahupun daripada kanak-kanak malang itu. Jika ada insan yang dapat memberikan kasih sayang kepada kanak-kanak ini, maka itulah sebenarnya kasih sayang sejati.

Tuesday, February 20, 2007

Tahun Melawat Malaysia 2007







Tahun Melawat Malaysia kembali lagi. Justeru, sempena cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, aku berkesempatan untuk melawat ke Terengganu Darul Iman. Hatiku amat gembira sekali. Bersama seorang rakan bersama isterinya, kami bertolak dari Petaling Jaya seawal 6.30 pagi sebaik sahaja menunaikan solat Subuh, 17 Februari 2007 bersamaan hari Sabtu. Dalam perjalanan, kami ternampak sebuah pacuan 4 roda yang membawa bersama-sama mereka anjing keluarga yang bersaiz besar di belakang kereta mereka. Anjing itu nampak gembira sekali kerana berpeluang untuk berjalan-jalan.

Destinasi kami di Terengganu kali ini adalah Merang, yang terletak kira-kira 36 kilometer ke utara dari Kuala Terengganu. Tempat penginapan kami adalah di Sutra Beach Resort yang hanya terletak bersebelahan dengan pantai. perjalanan kami mengambil masa selama 8 jam (setelah berehat sebentar di Kuantan). Setibanya di sana, kami terus ke bilik penginapan kami. Bilik bernombor 625 merupakan bilik standard 2 katil. Jadilah.... Inilah rezki kami... dan kami tetap bersyukur ;) Perjalanan yang lama amat memenatkan dan kami pun tertidur dengan nyenyaknya bertemankan bunyi deruan ombak yang menghempas ke pantai.... mmmm...besnye.....

Seperti yang dirancangkan, aku mengikut suamiku dan rakannya ke jeti yang terletak kira-kira 5 km dari resort. Suamiku kaki pancing, dan aku pula kaki ikut :))
Sebagai peminat 'fly fishing' suamiku berhabis ribuan untuk memastikan segala kelengkapan memancingnya bukan sekadar cukup sahaja, tetapi juga lengkap. Padaku...asal suamiku bahagia, aku kan tetap bahagia jua. Pemandangan di jeti amat indah sekali. Tempat ini walaupun dipangil jeti, namun begitu tempat ini bukanlah tempat untuk menunggu bot tambang untuk ke mana-mana. Tiada pun apa-apa bot yang kelihatan di jeti ini. Lebih kurang 20 meter dari jeti ini pula merupakan tembok batu yang didirikan sebagai pemecah ombak. Tembok ini tidak lah besar dan panjang. ketika air laut surut, sesiapa saja bolah turun ke pantai untuk berehat, mengutip kulit siput dan apa-apa sahaja aktiviti. Jeti ini sebenarnya adalah tempat untuk bersantai sahaja. Tidak ramai orang ketika kami tiba di sini. Yang kelihatan hanyalah sebuah keluarga yang sedang berkelah bersama-sama anak-anak mereka yang seronok berlari ke sana dan ke mari....Mmmm seronok jadi budak kecik....

Selama berada di sana selama 4 hari 3 malam aku tidak pernah merasa bosan. Inilah percutian rehat yang sebenarnya. Mana boleh aku memanjakan diriku di Kuala Lumpur sebegini! Kata orang putih..."eat sleep and be merry". Makanan di sini hebat-hebat. Setiap kali waktu bersarapan, aku aku makan sepuas-puasnya sehingga kami tak mampu untuk makan tengahhari. Untuk makan malam pula, kami akan keluar ke sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai juadah untuk menjamu selera. Sebut sahaja! Terdapat juga satu malam yang kami hanya makan di resort tersebut kerana ingin menyaksikan persembahan kebudayaan. Seronok melihat pelbagai jenis persembahan tarian termasuklah persembahan taridra Ulek Mayang. Para pelancong juga berkesempatan untuk menari bersama-sama penari-penari. Seronok juga melihat Mat Saleh yang bersemangan ingin mencuba tarian Joget.
Kelakorrrrrr...kui3

Pada setiap pagi pula, selepas menunaikan solat Subuh, aku akan menyaksikan keindahan alam ciptaan Allah iaitu matahari terbit. Subhanallah (Maha Suci Allah).. cantik sungguh.... Walaupun cara matahari terbit kali ini bukanlah seperti yang ingin aku saksikan(matahari benar-benar berada di antara garisan laut dan langit), namun cukuplah untuk aku simpulkan bahawa Tuhan itu Maha Kuasa. Aku juga tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam di ufuk barat. Cantik sungguh pemandangannya. Dicelah-celah daun pelepah kelapa, dengan perlahannya matahari melabuhkan diri untuk memberi peluang kepada sang bintang untuk memperagakan diri.

Setiap kali bercuti, setiap kali itulah juga aku akan memperbaharui kelas belajar berenangku daripada suamiku. Nasiblah air masin ... mudah lah untukku mengapungkan diri. Saja aje bermain air. Nampaknya otakku memang bebal untuk belajar berenang.

Aku amat berharap untuk bercuti di perairan pantai barat satu hari nanti. Harapnya hujung tahun ini..Insya Allah....

Monday, February 5, 2007

Aku Anak Malaysia

Salam semua,
Blog ini khas untuk semua warga Malaysia terutama pelajar SMK Taman SEA menilai diri mereka sebagai seorang anak Malaysia yang berwibawa. Bahasa Jiwa Bangsa.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...